Saturday, March 29, 2014

CONTOH NEGARA ISLAM

Tuan-tuan yang dihormati sekalian, 

 Islam melarang kita membuat fitnah. Dalam Al-Quran jelas disebut bahawa fitnah itu lebih merbahaya dari membunuh. Tetapi sedihnya perbuatan fitnah sudah menjadi amalan bagi sebahagian dari kita sehingga ada yang berusaha memburukkan imej negara dan Kerajaaan dengan memberi maklumat palsu kepada orang Islam lain dan menyuruh mereka mengancam dan mengecam Kerajaan Malaysia. Ini adalah sebahagian sahaja daripada bukti-bukti yang menunjukkan bahawa ramai juga di antara kita yang tidak mengikut ajaran Islam. Kelemahan orang Islam dan negara-negara Islam hari ini adalah disebabkan oleh perbuatan orang-orang Islam sendiri. Selagi kita tidak mahu mengakui hakikat ini, selama itulah kita akan lemah dan akan dikuasai oleh orang lain.

 Matlamat menegakkan negara Islam tidak boleh disamakan antara satu benua dengan satu benua lain, antara satu negara dengan satu negara lain kerana ada negara yang penduduknya 100% Islam, ada yang 90%, ada 75%, ada 50% dan ada yang 10%. Matlamat yang berbeza-berbeza ini tidak mungkin tercapai dengan mudah atau dalam masa yang singkat. Ia akan mengambil masa bertahun-tahun, mungkin berpuluh-puluh tahun. Yang penting bagi kita di Malaysia ialah menyediakan asas dengan menjadikan Islam sebagai agama rasmi. Dalam hal ini marilah kita mengambil pengajaran daripada Nabi Muhammad s.a.w. Sebagaimana kita semua tahu, Baginda mengambil masa selama 23 tahun untuk menyampaikan keseluruhan wahyu yang diturunkan, seterusnya perkembangan Islam itu berjalan secara tabii sedikit demi sedikit, bukan secara sekali gus. Dan ini dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. walaupun Allah Yang Maha Berkuasa boleh menjadikan sesuatu dalam sekelip mata dan Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruhNya.

 Walaupun agama Islam sudah lengkap dan panduan hidup terdapat dalam Al-Quran dan Hadith Nabi yang sahih , ini tidak bermakna bahawa akal fikiran kita tidak perlu digunakan lagi. Sebab itulah tafsiran oleh alim ulamak masih diperlukan berkenaan dengan hukum-hukum Islam. Sebab itulah tafsiran juga diperlukan berkenaan dengan bermacam-macam masalah harian dan kerja-kerja yang patut dikaji, dan oleh itu ilmu masih diperlukan. Itulah sebabnya Allah Subhanahu Wataala mengurniakan kepada umat manusia akal fikiran dan menyuruh kita berfikir. Apabila kita berada di dalam sesuatu keadaan, kita hendaklah berfikir dengan waras dan berhati-hati, terutama dalam menyusun langkah ke arah mencapai matlamat Islam yang menjadi hasrat kita. Janganlah kerana tidak berfikir, kerana dorongan nafsu, kita membuat sesuatu dengan bergopoh-gapah dan tidak berhati-hati sehingga kita gagal dan terlepas terus peluang kita. Janganlah kita sia-siakan peluang yang ada pada kita selepas 400 tahun kita dijajah. Ingatlah, jika kita tidak menyusun langkah dengan cermat, tidak membuat perhitungan yang teliti, tidak merancang, peluang kita akan terlepas, maka mungkin kita tidak akan dapat peluang sekali lagi. Ingatlah, kuasa yang ada pada kita masih boleh terlucut jika kita tidak berjaga-jaga.

 Kita perlu ingat bahawa untuk menjayakan sesuatu tujuan kita perlu mempunyai projek atau rancangan-rancangan yang disusun dengan kemas dan yang dapat dilaksanakan. Untuk melaksanakannya pula, ia bergantung kepada banyak faktor, termasuklah faktor tabiat manusia dan kemudahan-kemudahan. Tetapi, yang paling penting daripada semua faktor-faktor ini ialah faktor tabiat manusia iaitu kesanggupan dan kemampuan manusia yang akan menjalankan rancangan itu dan yang akan menerimanya.

 Sebagai contoh, untuk mengadakan sebuah rumah atau tempat kediaman, kita bergantung kepada kebolehan tukang yang mendirikan rumah itu dan kesediaan tuan punya rumah untuk membiayai dan menanggung perbelanjaan. Demikian juga halnya dengan cita-cita kita untuk melaksanakan ajaran Islam yang menyeluruh di dalam masyarakat kita. Ini semua bergantung kepada faktor-faktor tadi, terutamanya masyarakat dan pengikut-pengikutnya, ketua-ketua dan rakyat jelata yang diperintah oleh mereka. Dalam hubungan ini, cita-cita untuk menegakkan ajaran Islam, bergantung bukan sahaja kepada keinginan tetapi juga kepada kemampuan pemimpin-pemimpin dan kebolehan mereka yang diberi tugas untuk mencapai matlamat ini. Malangnya pada masa ini, ada kumpulan-kumpulan tertentu di Malaysia yang berusaha membawa masuk fikiran-fikiran dari luar negeri dan memaksa rakyat kita mengikutnya. Fikiran ini tidak sesuai dengan negara kita yang berbilang kaum dan agama. Perkara ini perlu direnung oleh kita semua.

Tuan-tuan dan saudara-saudara sekalian, 

 Sekali lagi saya mengalu-alukan usaha Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia yang mengundang para alim ulamak, pemimpin-pemimpin badan dakwah, para cendiakawan dan tokoh-tokoh agama untuk bertukar-tukar fikiran dan berbincang mengenai konsep negara Islam. Saya berharap perbincangan mengenai konsep negara Islam, dan perkara-perkara mengenainya, hendaklah mengambil-kira kedudukan negara kita yang berbilang kaum dan agama. Kita juga tidak boleh menyalah-gunakan kuasa yang Allah Subhanahu Wataala telah amanahkan kepada kita untuk memerintah negara ini. Hukum Allah Subhanahu Wataala mestilah dilaksanakan dengan hikmah dan bijaksana selaras dengan siasah syariah yang kita semua maklum. Saya percaya para peserta yang terdiri daripada alim ulamak dan cerdik pandai Islam kita, akan menjadikan Muktamar ini satu manfaat kepada umat Islam di Malaysia. Mudah-mudahan muktamar ini akan dapat memberi manfaat yang diharapkan dan semoga usaha yang dilakukan dengan ikhlas ini mendapat limpah berkat dari Allah Subhanahu Wataala.