Monday, November 2, 2015

APLIKASI MUDAH ALIH "MeterOn" KEMUDAHAN MENYEMAK STATUS TEKSI

Aplikasi mudah alih “MeterOn” adalah bertujuan untuk memberi kemudahan kepada orang awam untuk menyemak dan mendapat pengesahan mengenai status teksi dan pemandu teksi sebelum memulakan perjalanan.




Dengan hanya memasukkan nombor pendaftaran kereta, anda boleh mendapatkan butiran pemandu, menyemak rekod kesalahan pemandu dan ulasan-ulasan penumpang terhadap pemandu teksi yang dinaiki. Ini selaras dengan komitmen SPAD untuk memastikan penumpang dapat menggunakan teksi dan tiba dengan selamat ke destinasi yang ditujui.


Daftar Masuk Pengguna

Pengguna hanya perlu mendaftar sekali sebagai pengguna dengan mengisi nama, alamat emel dan nombor telefon dan boleh terus menggunakan aplikasi. Satu emel pengesahan akan dihantar secara berasingan dan pengguna perlu mengesahkan dalam tempoh 30 hari untuk memastikan rekod dapat disahkan. Namun, pengguna masih boleh menggunakan kemudahan aplikasi tanpa mendaftar masuk.
Nota: Pengguna boleh memilih untuk menggunakan aplikasi tanpa identiti (use anonymously).

Pengesahan Pemandu
Pengguna boleh membuat pengesahan dengan memasukkan nombor pendaftaran teksi. Nombor pendaftaran teksi yang berdaftar akan membolehkan pengguna menyemak maklumat terperinci pemandu, kesalahan dibawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 APAD (2010), dan maklumbalas/aduan daripada pengguna lain terhadap pemandu teksi tersebut. Aduan boleh terus dilakukan sekiranya teksi yang dinaiki dipandu oleh individu yang tidak berdaftar.



Penjejak Perjalanan
Pengguna boleh menjejaki dan berkongsi lokasi perjalanan dengan kenalan rapat sehingga selamat sampai ke destinasi.


Anggaran Tambang
Pengguna boleh mendapatkan anggaran tambang perjalanan setelah mengisi destinasi asal dan destinasi yang ingin dituju. Anggaran tambang hanya diberikan hanya berdasarkan penggunaan meter bagi Teksi Bajet, TEKSIM, Premier dan Eksekutif dan Kereta Sewa sahaja. Bagi kelas Teksi Lapangan Terbang, tambang adalah berdasarkan tambang zon yang ditetapkan oleh terminal.



Isyarat Kecemasan (SOS)
Sekiranya terdapat kecemasan, pengguna boleh menghantar mesej yang telah dilengkapi dengan butir-butir perjalanan (maklumat teksi dan pemandu, lokasi semasa, dan destinasi) kepada kenalan rapat. Aplikasi mudah alih MeterOn juga membolehkan pengguna untuk membuat panggilan kecemasan kepada kenalan rapat, Polis Diraja Malaysia atau Hotline S.P.A.D.



Penilaian Pemandu & Penggunaan Meter
Pengguna boleh menilai pemandu berdasarkan pengalaman perjalanan dan boleh melaporkan terus sekiranya meter tidak digunakan sepanjang perjalanan. Ini dapat dilakukan apabila pengguna menekan butang tamat perjalanan.



Menghantar Maklumbalas/Aduan
Pengguna boleh melaporkan kepada S.P.A.D. sekiranya perkhidmatan teksi yang diberikan tidak mencapai tahap yang memuaskan. Maklum balas dan aduan segera boleh dilakukan kepada S.P.A.D. melalui aplikasi ini. Tindakan segera akan diambil kepada pemandu teksi dan operator teksi yang melanggar APAD 2010.




http://www.spad.gov.my/ms/tfr2015/hak-penumpang/aplikasi-mudah-alih-meteron