Monday, December 23, 2013

NAJIB MENZIARAHI MAKAM NABI

Najib disambut sebagai tetamu negara di Arab Saudi


Gambar: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menunaikan solat isyak diimamkan oleh Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdullah Md. Zin (depan) ketika menziarah Makam Nabi Muhammad SAW di Masjid Nabawi, Madinah, malam semalam. - BERNAMA

MADINAH 22 Dis. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak sangka diberi status tetamu negara dalam lawatan kerja ke Arab Saudi dan percaya ia adalah kesan daripada hubungan akrab yang terjalin sekian lama antara Malaysia dan negara berkenaan.

Alhamdulillah kedatangan saya hari ini pun mendapat layanan luar biasa sebab saya tak sangka jalan-jalan ditutup sepanjang lapangan terbang menuju ke tempat ini dan ia bukan perkara biasa," katanya dalam pertemuan dengan 150 mahasiswa Universiti Islam Madinah di sini malam tadi.

Lazimnya pemimpin sesebuah negara diberi layanan berstatus tetamu negara apabila membuat lawatan rasmi.

Najib berkata, beliau merasa bertuah mendapat sambutan yang tidak diduga itu dengan begitu ramai pelajar menyambut ketibaannya dan beliau dimaklumkan pelajar berkenaan mendapat biasiswa kerajaan Arab Saudi kesan hubungan baik dan akrab itu.

Perdana Menteri berkata, beliau akan terus memupuk hubungan baik dengan kerajaan Arab Saudi dan akan sentiasa berusaha memperkukuhkan hubungan yang sedia terjalin erat sehingga mendapat pertimbangan istimewa dalam banyak aspek termasuk berhubung jemaah haji dan urusan lain.

Beliau turut berkongsi pandangan dengan mahasiswa berkenaan tentang perkara yang berlaku semasa kecemasan dalam Operasi Piramid untuk membawa pulang pelajar Malaysia dari Mesir ketika negara itu sedang bergolak berikutan krisis politik yang membawa kejatuhan Presiden Hosni Mubarak.

Kata Najib, perkara itu dibangkitkan dalam ucapan penangguhan di Perhimpunan Agung UMNO 2013 di sini awal bulan ini.

Beliau berkata, kerajaan Arab Saudi memberi pertimbangan dengan membenarkan pesawat Charlie yang membawa masuk pelajar Malaysia, mendarat di Jeddah sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur tanpa perlu mendapatkan visa.

Ini satu pertimbangan luar biasa dan tidak cukup setakat pesawat itu, penerbangan dua pesawat Boeing 747 Jumbo diberi percuma bagi membawa balik pelajar terbabit," katanya.

Terdahulu ketibaan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta rombongan untuk lawatan kerja empat hari di Lapangan Terbang Putera Mohamed Abdul Aziz di sini disambut Timbalan Gabenor Madinah, Abdul Mohsen Al-Munif.

Berhubung perkembangan di Malaysia, Najib berkata, beliau akan terus memperjuang bagi membangun, meningkat dan memperkukuh syariat Islam di Malaysia berpaksikan maqasid syariah yang akan menjadi landasan kerajaan untuk terus memperjuangkan usaha membangunkan Islam.

Walaupun perjumpaan ini adalah satu pertemuan ringkas tetapi ia sungguh bermakna dan mudah-mudahan dengan baliknya tuan-tuan sekelian ke Malaysia boleh memainkan peranan mengembang dan memperkukuh Islam termasuklah di institusi Islam yang ada.

Itulah harapan saya dan kerajaan Malaysia," katanya.

Mengenai soal pembangunan, kebajikan, ekonomi dan kewangan, Najib berkata, Malaysia berada dalam keadaan yang baik.

Kita perlu berusaha memperkukuh ekonomi Malaysia sehingga kita dengar tarif elektrik dinaikkan. Tetapi perkara itu sesuatu yang tak dapat dielakkan tetapi golongan berpendapatan sederhana akan terus mendapat bantuan kerajaan," kata beliau lagi.

Kerajaan, kata Najib, akan terus membantu golongan berpendapatan sederhana dan lain-lain, misalnya melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta bantuan persekolahan.

Ia bertujuan membawa Malaysia mencapai status negara maju menjelang tahun 2020, kata Najib.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi, Ameer Ikhwan Zaini meminta mahasiswa Malaysia yang berada di seberang laut supaya turut sama berganding bahu dengan kerajaan bagi membangunkan Malaysia.

Adalah sesuatu yang merugikan jika masih ada mahasiswa yang membenci kerajaan," katanya.

Beliau berkata, usaha Perdana Menteri menubuhkan Institut Wasatiyyah untuk meninggikan syiar Islam perlu disokong terutama dalam membolehkan golongan profesional dan agama mendekati pelbagai lapisan masyarakat dengan keindahan ajaran Islam.

Selepas majlis itu, Najib dan Rosmah menziarahi makam Nabi Muhammad SAW yang terletak di dalam Masjid Nabawi di sini.

Beliau turut diiringi Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdullah Md. Zin.

Hari ini, Najib dijadual menunaikan ibadah umrah di Masjidil Haram di Mekah dan dijangka menghadap Raja Abdullah Abdul Aziz. - BERNAMA
 

No comments:

Post a Comment