Thursday, September 12, 2013

Mencari “Ali Karamallahu Wajhah” Dan “Fatimah Az-Zahra” Di Dalam UMNO…

Tidak dapat dinafikan bahawa bahang Pemilihan Agung UMNO semakin terasa. Calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan-jawatan utama kepimpinan parti keramat bangsa itu kian aktif berkempen dari satu negeri ke satu negeri.

Mungkin kerana dikekang oleh peraturan dan kaedah baru sistem pemilihan UMNO kali ini, calon-calon dilihat agak kekok dan belum mampu membiasakan diri dengan cara baru itu. Meskipun begitu, mereka tetap berkempen siang dan malam.
Pun begitu, dijangka tiada sebarang pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden walaupun tiada sebarang halangan diberikan bagi merebut kedua jawatan tertinggi UMNO itu.
Mungkin seluruh ahli UMNO sebulat suara untuk memberikan peluang kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin meneruskan kemantapan gandingan yang dilihat berjaya memperkasakan parti.
Lagipun, rasanya tidak perlu saya ulas tentang kejayaan Presiden UMNO dan Timbalannya yang membuktikan keupayaan mereka membangkitkan semangat Melayu beragama Islam. Keputusan dan statistik UMNO pada PRU ke-13 sudah cukup “bersuara” tentang kejayaan tersebut. Tahniah!
Kini, ramai yang tertumpu pada pertandingan bagi jawatan-jawatan utama lain seperti Naib-Naib Presiden, Ahli Majlis Tertinggi, ketua-ketua sayap UMNO seperti Wanita, Pemuda dan Puteri.
Apatah lagi bila “trend” semasa membayangkan seolah-olah jawatan-jawatan tersebut perlu diisi oleh pemimpin yang mampu memberi “nafas baru”, maka makin ramailah yang menawarkan diri untuk bertanding.
Rata-rata penyandang jawatan-jawatan tersebut akan dicabar. Tokoh-tokoh kepimpinan sama ada “muka lama” atau “muka baru” masing-masing yakin bahawa mereka mampu menjawat jawatan yang ditawarkan pada musim pemilihan kali ini.
Sebagaimana maklum, UMNO kini dalam fasa transformasi di bawah kepimpinan Presiden, Datuk Seri Najib. Jadi secara tidak langsung, calon yang berjaya merebut jawatan-jawatan utama UMNO kali ini dijangka akan menjadi sebahagian dari “team transformasi UMNO”.
Persoalannya, siapakah di antara mereka yang mampu menggalas tanggungjawab bersama-sama mendokong transformasi di dalam parti itu? Fahamkah mereka tentang bentuk transformasi yang diperlukan UMNO?
Saya lebih tertarik pada pemilihan kepimpinan Pemuda dan Puteri UMNO kali ini. Mungkin kerana kedua sayap ini bakal berdepan dengan tugas getir bagi menarik sokongan pengundi golongan muda yang dijangka menjadi faktor penentu utama untuk survival UMNO pada PRU ke-14 nanti.
Orang muda sekarang bukanlah seperti orang muda dulu. Orang muda sekarang lebih meminati K-Pop berbanding muzik asli Melayu nusantara. Orang muda sekarang lebih terbuka mindanya berbanding orang muda dulu yang patuh pada adab, adat dan asas hukum Islam.
Orang muda sekarang terlalu “advance”. Serba serbi terkehadapan. Mungkin kerana terlalu “advance”, penyokong Syiah seperti Khalid Ismeth pun mereka sokong. LGBT pun dianggap terbuka. Fitnah pun dikatakan benar. Malah minoriti pun disangka majoriti!
Persoalannya, mampukah kepimpinan Pemuda dan Puteri yang bakal ditentukan pada pemilihan kali ini mengatasi corak pemikiran golongan yang “baru nak mengenal dunia” tersebut?
Tidak dinafikan bahawa majoriti golongan muda tidak senegatif Khalid Ismath, Adam Adli, Nurul Izzah, Rafizi Ramli, Nasrudin Tantawi atau Nik Abduh. Mereka lebih gemar menjadi “silent voters” berbanding menghuru-harakan negara.
Pun begitu, apakah calon-calon jawatan utama Pemuda dan Puteri mampu mencorak pemikiran anak-anak muda ini dengan jatidiri yang selari dengan penghayatan perjuangan berlandaskan Islam, Melayu dan bumi bertuah yang asalnya bernama Tanah Melayu ini?
Apakah mereka mampu menjadi “role model” generasi Melayu Muslim sebenar? Maksud saya bukan “model majalah” atau “ratu cantik”, tapi model contoh untuk belia dan beliawanis seperti Ali Karramallahu Wajhah dan Fatimah Az-Zahra.
Dua tokoh belia Islam di zaman Rasulullah itu begitu terserlah kepimpinan mereka mempertahankan bumi dan wilayah Islam. Jika tidak mampu begitu sekalipun, mampukah mereka bersifat seperti Usamah ibnu Zaid atau Tariq Ibnu Ziyad?
Bukanlah saya mahu mereka mengangkat pedang dan keris untuk berperang dengan sesiapa. Namun di saat golongan muda di negara ini diancam “perang pemikiran dan persepsi”, mampukah mereka menjadi “panglima” dan “srikandi” yang mempertahankan hak bangsa Melayu Muslim di Malaysia?
Saya yakin, sekiranya ahli Pemuda dan Puteri matang dalam perjuangan serta kuat jatidiri UMNO, maka mereka tidak punya masalah untuk memilih “nakhoda” yang terbaik. Tapi mampukah calon terpilih nanti mengemudi bahtera Pemuda dan Pemudi itu?
 Sama-sama kita nantikan hasilnya. Bak saya katakan tadi, kepimpinan yang terpilih pada Pemilihan Agung UMNO kali ini bakal menentukan hala tuju dan takdir pada PRU ke-14 nanti, bukan?

No comments:

Post a Comment