Tuesday, July 16, 2013

TIGA PENJENAYAH MENCEROBOH, 2 CEDERA PARAH DI TEMBAK

Dua beranak cedera parah selepas ditembak seorang daripada tiga penjenayah yang menceroboh masuk rumah mereka di Taman Sejahtera, dekat Kampar malam tadi.
Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, Zahari Din, 51, cedera di perut manakala anaknya, Zaharith Aiman Mahami, 13, cedera di paha kanan setelah terkena peluru tembakan suspek yang menembusi perut bapanya.


Kedua-dua mereka dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun bagaimanapun dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam berkata, ketika kejadian mangsa yang merupakan peniaga kedai runcit sedang berehat bersama isteri dan dua anaknya di ruang tamu rumah sebelum tiba-tiba muncul tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang.
Beliau berkata, suspek kemudian merampas barang milik mangsa iaitu dua unit telefon bimbit, kunci trak pikap Toyota Hilux, kunci rumah, kad pengenalan dan buku bank.


"Semasa salah seorang perompak mahu menghidupkan trak pikap itu mangsa mengeluarkan parang dan cuba menyerang suspek.
"Seorang daripada penjenayah terbabit mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan yang mengenai perut mangsa sebelum peluru itu tembus dan terkena paha kanan anak lelakinya," katanya dalam sidang akhbar hari ini.


Menurut Paramasivam, penjenayah terbabit yang gagal melarikan Toyota Hilux itu kemudian melarikan diri menaiki kereta Proton Perdana berwarna gelap.
"Kira-kira setengah jam kemudian polis percaya penjenayah sama merompak sebuah Toyota Hilux milik seorang lelaki berusia 31 tahun di kilang besinya di Jalan Kampar-Langkap.
"Dalam kejadian itu, mangsa yang diugut dengan parang di leher telah ditarik keluar dari kereta sebelum kenderaannya itu dilarikan bersama wang tunai RM6,000, dua unit telefon bimbit, seutas rantai leher, sebentuk cincin dan sekeping loket," katanya.


Paramasivam berkata, berikutan dua kejadian jenayah ini, polis melancarkan operasi di seluruh negeri dan pada pukul 11.30 malam tadi, seorang suspek berjaya ditangkap selepas terlibat dalam kemalangan semasa cuba lari daripada sekatan polis.


"Suspek berusia 33 tahun itu membuat pusingan U untuk lari daripada sekatan namun kereta dipandunya berlanggar dengan kenderaan lain lalu terbabas.
"Berikutan pelanggaran itu, lelaki tersebut patah kaki dan cedera di kepala manakala empat mangsa yang dilanggar pula cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar," katanya.
Tambah beliau, pemeriksaan dalam kereta suspek yang merupakan kenderaan curi itu menemukan wang tunai RM1,100, sarung tangan kain, buku cek Maybank, kad pengenalan, tiga unit telefon bimbit dan buku simpanan Tabung Haji.


Katanya, suspek juga didapati memiliki empat rekod kesalahan lampau yang melibatkan dadah dan kecurian.
"Kumpulan bersenjatakan parang dan pistol ini ganas selain dipercayai aktif sejak awal tahun ini dalam kes kecurian membabitkan kenderaan jenis Toyota Hilux. Sekurang-kurangnya 10 kes telah dilakukan kumpulan sama membabitkan kehilangan kenderaan itu.
"Polis sedang mengesan dua lagi penjenayah bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," katanya.


No comments:

Post a Comment