Bapa kepada seorang pemuda yang ditemui mati tersepit di palang besi tingkap dapur ketika cuba menceroboh masuk rumah jirannya, bercadang membuat demonstrasi bagi menyangkal keputusan bedah siasat bahawa anaknya itu mati disebabkan oleh sesak nafas.
Mohd. Damanhuri Mohd Fuat, 50, berkata, dia akan melantik seorang sukarelawan yang berbadan sama saiz seperti anaknya untuk 'melakonkan semula' aksi pecah masuk rumah tersebut bagi membuktikan seseorang itu tidak boleh mati dengan hanya sesak nafas akibat tersepit, melainkan teruk dipukul.
"Saya telah melantik peguam untuk mendapatkan perintah mahkamah esok bagi menjalankan bedah siasat kali kedua. Saya akan melihat kepada keputusannya dahulu sebelum membuat demonstrasi ini.
"Sekiranya keputusan adalah sama (mati disebabkan sesak nafas akibat tersepit), saya tetap tidak akan berpuas hati kerana kenapa ada kesan lebam di badan seperti dipukul dengan objek keras termasuk di perutnya seperti dipijak serta dicekik di leher dan diikat di pergelangan tangan?" katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, tindakan anak sulung Mohd. Damanhuri iaitu Sherol Aizan, 27, yang didapati cuba menceroboh masuk sebuah rumah jiran berakhir apabila dia ditemui mati tersepit di celah palang besi tingkap dapur kediaman itu di Taman Saz di sini kira-kira pukul 12.15 tengah malam.
Ketua Polis Daerah, Asistem Komisioner Sum Chang Keoong berkata, hasil bedah siasat mendapati suspek meninggal dunia disebabkan postural asphyxia iaitu sesak nafas akibat tersepit.
Namun, Mohd. Damanhuri bertegas tidak mahu mengebumikan jenazah anaknya kerana tidak berpuas hati dengan keputusan bedah siasat tersebut.
Ekoran itu, Mohd. Damanhuri berkata, dia telah membuat satu laporan polis di pondok polis Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kira-kira pukul 11 pagi semalam kerana percaya terdapat unsur jenayah atas kematian anaknya.
"Saya perlukan bukti gambar untuk menunjukkan bahawa anak saya mati disebabkan sesak nafas akibat tersepit di tingkap.
"Yang pasti saya tidak kebumikan jenazah anak selagi tidak dapat kebenaran. Mayat anak saya masih lagi disimpan di rumah mayat HRPB ketika ini," katanya yang turut berhasrat untuk membuat satu lagi laporan polis selepas ini.
No comments:
Post a Comment