Tuesday, July 16, 2013

KENAKAN HUKUMAN BERAT

Isu penghinaan terhadap kesucian agama Islam yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini akan dibawa ke Kabinet kerana perbuatan tersebut sudah terlalu melampau.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan pihak terbabit dihadapkan ke mahkamah.

“Saya bimbang penyalahgunaan ke atas media sosial kerana sudah ke tahap terlalu melampau dan jika berterusan boleh menjejaskan keharmonian antara kaum. Kes sebegini bukan hanya melibatkan Alvin Tan Jye Yee,25 dan Vivian Lee 24, tetapi beratus lagi laman web.
“Dalam kes Alvin dan Vivian, SKMM sudah mengambil keterangan tetapi saya fikir kes ini harus ditangani mengikut Akta Hasutan atau di bawah Kanun Keseksaan bukan setakat Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas desakan orang ramai agar pihak berkuasa dan kerajaan mengambil tindakan lebih tegas ke atas Alvin dan Vivian selepas pasangan tersebut memuat naik gambar yang mempersenda kesucian bulan Ramadan dan umat Islam.

Pasangan itu yang sebelum ini telah beberapa kali memuat naik aksi seks mereka di laman sosial bertindak memaparkan gambar di Facebook sedang menikmati hidangan babi dengan kapsyen Selamat berbuka puasa dengan Bak Kut Teh (sup tulang babi)... Wangi, enak dan menyelerakan lengkap dengan logo halal.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, walaupun semakin ramai pihak tidak bertanggungjawab bertindak menyalahgunakan laman sosial termasuk melibatkan isu-isu sensitif seperti agama, kerajaan tidak berhasrat untuk menyekat laman berkenaan.
Jelasnya, langkah itu sejajar dengan janji kerajaan untuk tidak mengenakan sekatan kerana terlalu banyak kebaikan yang mampu diperoleh melalui laman sosial, sama ada kepada agensi kerajaan, peniaga mahupun rakyat tetapi perlu diiringi dengan kesedaran kendiri.

“Sebab itu kritikan dan kutukan masyarakat tanpa mengira ideologi terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja menghina kesucian agama seperti dilakukan pasangan Alvin dan Vivian ini penting untuk menyedarkan masyarakat bahawa gejala seperti itu ditolak rakyat Malaysia.

“Namun saya juga pelik kerana sehingga kini tiada sebarang kritikan daripada pemimpin pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP walaupun jelas perbuatan biadab itu boleh mengundang kepada insiden pergaduhan kaum," katanya.