Tuesday, July 16, 2013

DAP GUNA DUIT RAKYAT PROMOSI PARTI MEREKA

- Tindakan DAP menggunakan replika burung gergasi di Pulau Pinang yang didakwa oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng kononnya sebagai daya tarikan pelancongan baharu ke negeri itu dilihat sebagai syok sendiri bagi mempromosikan partinya.


Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, dakwaan penggunaan replika burung itu bagi menarik pelancong ke negeri terbabit merupakan alasan semata-mata dan mempunyai agenda politik tertentu.


“Secara umum, replika itu sendiri melambangkan parti DAP dan mempunyai unsur politik. Jadi dengan menggunakan replika itu, Guan Eng sebenarnya memberi publisiti kepada partinya itu, bukan mahu meningkatkan industri pelancongan.


“Malah, kita boleh menilai DAP selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13), pemimpin parti itu tidak berputus asa untuk memberi publisiti ke atas parti mereka, antaranya menganjurkan perhimpunan haram dan kini melancarkan replika burung gergasi dengan niat mahu mempromosikan parti mereka," katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Woo, di sini hari ini.
Tiong Lai mengulas penggunaan replika burung gergasi di Dermaga IJM, Promenade Pulau Pinang mulai 13 Julai sehingga 31 Ogos ini.


Sebelum ini, Naib Pengerusi Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan menyelar kerajaan negeri itu bersikap hipokrit apabila mendakwa pelancaran replika burung gergasi di perairan negeri itu bertujuan sebagai daya tarikan pelancongan baharu.
Katanya, tindakan DAP mengapungkan replika setinggi kira-kira tujuh meter berkenaan bukan bertujuan menarik pelancong, sebaliknya dilakukan atas kepentingan politik iaitu mahu mempromosikan parti mereka.


Dalam pada itu, ditanya sama ada kos pelaksanaan replika itu membazirkan wang, Tiong Lai sebaliknya memberitahu perbelanjaan yang digunakan itu ternyata bagi tujuan mempromosi partinya.
“Walaupun projek itu tidak melibatkan peruntukan kerajaan negeri tetapi ternyata kos yang digunakan itu dengan tujuan publisiti parti sahaja bukan untuk tarikan pelancong," katanya.