Perluasan subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITA) ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bukan bertujuan mengislamkan pelajar tetapi untuk menggalakkan persefahaman antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, TITA yang meliputi pengetahuan mengenai tamadun utama Asia termasuk peradaban Islam, China dan India itu diajar sejak sekian lama di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tanpa menimbulkan sebarang isu.
Walau bagaimanapun, kata beliau, sesetengah pihak membangkitkan isu perluasan TITA daripada IPTA ke IPTS kerana tidak memahami keadaan sebenar.
"Dengan memahami tamadun-tamadun ini, kita akan memahami nilai-nilai agama yang murni serta pencapaian mereka membentuk tamadun yang begitu hebat dalam sains, teknologi, kimia, fizik, perubatan dan sebagainya.
"Dengan memahami nilai-nilai murni setiap agama dapat mengikis sebarang prejudis terhadap agama yang berlainan," katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berucap dalam majlis berbuka puasa bersama kira-kira 1,000 warga Kementerian Pendidikan di Sri Satria, di sini malam ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Timbalan Menteri Pendidikan Dua, P. Kamalanathan serta Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr. Madinah Mohamad dan Prof. Datuk Dr. Ir. Zaini Ujang.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia akan terus memberi penekanan terhadap keharmonian antara kaum serta mengajar nilai-nilai murni agama.
"Hidup dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, cabarannya ialah bagaimana menjadikan pendidikan sebagai wahana perpaduan.
"Murid-murid perlu dibimbing supaya mereka menghormati adat resam, budaya dan agama yang dianuti orang lain," katanya.
No comments:
Post a Comment