Wednesday, June 5, 2013

TIADA CAMPUR TANGAN POLITIK DAN KONGSI GELAP

KPN: Polis bebas, tiada campur tangan politik, kongsi gelap
Teoh El Sen | Kemas kini: Jun 05, 2013

KUALA LUMPUR:  Pihak polis sentiasa bertindak secara bebas dan tidak sekali-kali dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu termasuk ahli politik mahupun kongsi gelap.

Ini tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang berkata sebarang tindakan polis ianya berlandaskan undang-undang sedia ada.

"Saya telah sebut banyak kali. Tanggungjawab kami adalah untuk menguatkuasakan undang-undang. Kalau kita sudah mempunyai undang-undang, dan kita tidak melaksanakannya, orang akan mempersoalkan kami juga. Jadi, kita akan menguatkuasakan semua undang-undang sedia ada, " kata Khalid dalam satu wawancara eksklusif bersama Astro AWANI.

Kenyataan itu dikeluarkan Khalid susulan insiden tangkapan dan pendakwaan beberapa aktivis dan ahli politik pembangkang baru-baru ini di bawah Akta Hasutan dan Akta Perhimpunan Aman dimana sesetengah pihak mengkritik tindakan itu dan melihatnya sebagai 'menidakkan kebebasan demokratik'.

Pihak polis juga diselar oleh pihak-pihak tertentu yang mendakwa pihak berkuasa lebih cenderung untuk mensasarkan tindakan kepada pihak pembangkang.

"Kami tidak pernah berat sebelah. Dakwaan itu tidak benar. Siapa kata kita tidak menyiasat kes-kes lain. Mungkin kes-kes seumpamanya berada di bawah peruntukan undang-undang lain. Siasatan telus tanpa mengira siapa mereka, " kata Khalid.

"Siapa kata kita berat sebelah? Mana siasatan yang diketepikan? " kata Khalid yang juga mengesahkan bahawa polis juga sedang menyiasat bekas pengerusi Perkasa Datuk Ibrahim Ali, yang sebelum ini pernah mengugut untuk membakar kitab Injil, satu tindakan yang dianggap satu hasutan oleh sesetengah pihak.

"Siapa kata kita tidak siasat (Ibrahim), siapa kata kita tidak buka kertas siasatan, siapa kata kita tidak memanggil (dia) untuk rakam percakapan. Sama sahaja tindakkannya,"katanya.

"Jika ada laporan, kami menyiasat. Selepas kami menyiasat, terdapat beberapa kes kita dapati bahawa tidak ada kesalahan yang dilakukan, dan ada kes di mana kita mendapati bahawa terdapat kesalahan yang dilakukan, dan kita buat tindakan seterusnya seperti membawa kes ke mahkamah dan sebagainya, "katanya.

Ditanya mengenai dakwaaan campur tangan oleh menteri, sebagaimana yang telah didedahkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebelum ini, Khalid sekeras-kerasnya menafikan bahawa terdapat insiden seumpama itu.

"Sejak saya mengambil alih jawatan KPN, tiada gangguan dari mana-mana ahli politik, itulah yang boleh saya katakan."

"Apa sahaja tindakan yang telah diambil, kebelakangan ini, adalah berdasarkan kepada undang-undang dan bukan atas arahan atau campur tangan sesiapa. Tidak timbul masalah campur tangan dari mana-mana pihak, "katanya.

Mengenai dakwaan bahawa pihak polis mempunyai hubungan dengan kumpulan kongsi gelap, Khalid menjawab: "Bagaimana pula kumpulan "underworld"(kongsi gelap) boleh mengganggu penguatkuasaan undang-undang?"

"Saya menafikan bahawa terdapat sebarang gangguan sekalipun. Bagaimana mereka(kongsi gelap) boleh mengganggu ... jika mereka sendiri melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang? Tidak, sudah tentu tidak ada gangguan dari mana-mana pihak dalam usaha kita untuk menguatkuasakan undang-undang di negara kita, " kata Khalid. Tambah beliau: “semua pegawai kami diberi arahan untuk menguatkuasakan undang-undang sedia ada".

No comments:

Post a Comment