Saturday, June 15, 2013

TAMBANG BAS : HARGA SEKARANG CUKUP BERPATUTAN

ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menolak cadangan kenaikan tambang bas ekspres di musim perayaan seperti yang diminta oleh syarikat pengusaha bas di negara ini.
Presidennya, Datuk Yusoff Ismail berkata, kenaikan 30 peratus tinggi dan membebankan pengguna.

Menurutnya, alasan yang dikemukakan oleh pihak pengusaha menjadi persoalan yang perlu difikirkan kewajarannya kerana membabitkan musim perayaan sahaja.

“Mengapa hanya musim perayaan? Saya fikir cadangan itu tidak wajar kerana harga tambang sedia ada sudah cukup berpatutan dan sebelum ini pun berlaku kenaikan.

“Alasan itu tidak munasabah dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu meneliti dan mengkaji sedalam mungkin kerana ia membabitkan kepentingan rakyat,” katanya.

Yusoff berkata, sebelum mengambil kira soal menaikkan harga tambang, syarikat pengusaha bas sebaliknya perlu meningkatkan mutu perkhidmatan.

Katanya, pihaknya sering menerima aduan daripada pengguna yang tidak puas hati dengan perkhidmatan bas setakat ini.

“Pengguna pastinya mahu caj yang dikenakan kepada mereka berbaloi dengan perkhidmatan yang diberikan. Sekiranya mutu perkhidmatan syarikat bas baik, pengguna tentu berpuas hati dan bersetuju dengan caj yang dikenakan.

“Justeru itu, pengusaha bas ekspres perlu mengutamakan perkhidmatan terbaik terlebih dahulu kepada pelanggan dari pelbagai aspek, terutama keselesaan penumpang,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia (PPBSM), Sa'adan Man berkata, kenaikan tambang bas di musim perayaan tidak wajar.

“Tambang bas sudah banyak kali naik. Syarikat bas tidak boleh pentingkan keuntungan semata-mata sehingga mahu menaikkan tambang pada musim perayaan.

“Ini tidak adil kepada pengguna kerana mereka tetap menjadi pengguna di luar musim perayaan. Kerajaan perlu meneliti perkara ini dan (yang berkaitan dengan) kebajikan pemandu-pemandu bas,” katanya.

No comments:

Post a Comment