Turki di bawah Erdogen tak sama dengan negara Arab
Subky Latif, | 20 Jun 2013 |
SEMUA negara Arab baik yang terlibat dengan Arab Spring dan tidak, tidak sama dengan Turki yang ditadbir oleh Perdana Menteri Recep (Rejab) Tayyip (Taib) Erdogen dan partinya AK.
Rata-rata negara Arab dan pemerintahannya diktator baik ia monarki atau republik. Rakyat tidak dapat bersuara, tidak dapat menikmati keadilan sosial, bagi yang tidak berminyak hidup dalam kemiskinan sedang pemerintahannya kaya raya. Rata-rata rasuah dan tiada negara yang dapat dijadikan contoh negara Islam.
Dengan segala yang ada di negara-negara Arab itu tiada yang terkejut jika Arab Spring berlaku.
Semua tahu Turki sejak kalahnya khilafah Osmaniyah. Ia negara sekular anti-Islam dan anti-Arab. Sekularisma adalah fahaman yang tidak hidup dan ditadbir secara agama tetapi ia tidak anti mana-mana agama. England adalah sekular tetapi Queennya boleh menjadi ketua agama Kristian dan gereja. Ia boleh membantu keperluan rakyat secara agama tetapi kerajaan dan politiknya tidak dijalankan mengikut kehendak agama.
Kerajaan Turki tidak ada bajet tentang Islam. Tiada surau di mana-mana bangunan kerajaan. Siapa yang hendak solat di waktu pejabat, solatlah secara curi. Kerajaan dan kaki tangannya dikira jenayah jika melibatkan diri dengan Islam. Islam adalah dalam rumah dan masjid. Sekularismanya adalah anti Islam.
Ia tidak pernah ada kerajaan yang stabil setelah ketiadaan Kamal Ataturk. Ia demokrasi tetapi tiada parti politik yang dapat majoriti sebelum parti dan kerajaan Erdogen. Kebanyakan kerajaan yang dibentuk adalah kerajaan campuran. Ekonominya buruk, inflasi tinggi. Nilai mata wang Liranya berubah mengikut minit. Nilai petang sudah tidak sama dengan nilai tengah hari. Harga barang berubah setiap minggu.
Wajib bagi Istanbul putus bekalan air paling kurang dua hari seminggu.
Parti Ergoden adalah yang pertama dapat membentuk kerajaan majoriti Turki. Pertama kali partinya menyertai pilihanraya, ia menang.
Semua mengaku kerajaan Erdogen berjaya memulihkan politik, ekonomi, memendung inflasi, mengukuhkan Lira dan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Bekalan air di Istanbul tidak putus lagi. Kerajaannya adalah antara yang terbaik di dunia dan berada di depan dibandingkan kebanyakan negara Arab dan Islam.
Stesyen TV CNN pun bertanya apa yang rakyat Turki mahu dengan tunjuk perasaan anti kerajaan yang merebak ke seluruh negara sejak lebih dua minggu lalu? CNN mengakui kerajaan Erdogen telah melakukan yang terbaik yang belum dapat dicapai oleh kerajaan yang terdahulu. Erdogen telah menyelamatkan negara dan rakyatnya dari kehancuran.
Turki cuba menyertai pakatan komuniti Eropah untuk membolehkannya menikmati kejayaan ekonomi dan sosial yang Eropah capai. Tetapi ia tidak tolek sebabnya komuniti itu adalah untuk Kristian dan Turki adalah Islam sekalipun pegangan agamanya senipis kulit bawang sebelum Erdogen berkuasa. Dan apa lagi Erdogen itu dikenali orang beragama dan pro agama, tidak ruang diterima oleh EU.
Ketika Grecce, Itali, Sepanyol dan beberapa negara Eropah berdepan dengan ancaman muflis, Turki adalah terselamat.
Turki sekarang bersaing dengan Jepun dan beberapa negara untuk menganjurkan Sukan Olimpik. Ia menyediakan bajet yang jauh lebih besar dari persediaan Jepun.
Tidak ada yang mewajarkan rakyat Turki untuk melakukan Arab Spring. Keadaan di Turki adalah lebih baik dan dijangka menuju masa depan yang lebih cemerlang jika parti Erdogen terus berkuasa. Tetapi mengapa ada tunjuk perasaan berlanjutan?
Jawabnya sekalipun Erdogen mengaku mempertahankan dasar sekular tetapi dunia barat tidak percaya kepada pegangan Islam dan mereka cemburu dengan Islam. Turki sudah ke depan dalam menghadapi isu Palestin dan amat tidak disenangi Israel. Negara-negara Arab yang dilanda Arab Spring melihat Turki di bawah Erdogen sebagai contoh yang baik.
Sukar bagi lain parti di Turki untuk menang selagi Erdogen menjadi pemimpin rakyat. Mereka yang menyokong Erdogen di barat tidak menyatakan tentngan kepadanya kerana dia demokrati dan pimpinannya baik. Tetapi mereka lebih suka sekular anti Islam berkuasa di Turki sekali mereka tidak mampu memajukan Turki.
No comments:
Post a Comment