Alhamdulillah selepas 450 negeri-negeri Melayu terjajah akhirnya kita dapat tebus balik kemerdekaan dan maruah negara dan bangsa kita. Tetapi sekarang kita dapati bahawa mereka yang dahulu menjajah kita tidak akan benar kita terus bebas. Wilayah kita masih menjadi sasaran penjajahan mereka. Jika tidak secara langsung, secara tidak langsung mereka akan cuba menjajah kita semula.
Cara yang terhalus melakukan penjajahan adalah dengan menjajah pemikiran kita. Semasa mereka menjajah kita dahulu mereka tidak pernah sebut tentang demokrasi dan hak asasi manusia. Sebaliknya sejarah mereka dipenuhi dengan rampasan wilayah penduduk tempatan, yang kadang-kadang mereka bunuh atas alasan mereka bertanggungjawab untuk mengembangkan tamadun dan agama mereka. Ini disebut mereka sebagai "manifest destiny" mereka, iaitu tanggungjawab yang ditentukan oleh Tuhan bagi mereka.
Tetapi selepas wilayah yang ditakluki mereka mencapai kemerdekaan tiba-tiba demokrasi dan hak asasi menjadi begitu utama sehingga jika negara bebas tidak mengamalkan demokrasi atau kononnya mencabul hak asasi manusia, mereka boleh mengetepikan kebebasan negara- negara yang baru merdeka dan masuk campur tangan dalam urusan negara-negara berkenaan.
Demikianlah cekapnya mereka menyemai dan mempengaruhi fikiran sehingga ramai daripada penduduk negara yang merdeka menuduh Kerajaan sendiri bersalah, mencuba menjatuhkannya dan rela menerima sokongan dan bantuan daripada penjajah dahulu. Mereka ini tidak nampak muslihat penjajah, tidak sedar mereka sudah diperalat. Sebenarnya bekas penjajah tidak mendokong demokrasi dan hak asasi manusia. Apabila kepentingan mereka terancam, semua ini digugurkan sahaja dan mereka akan kembali kepada cara lama mereka.
No comments:
Post a Comment