Tuesday, June 4, 2013

4 DIGANTUNG TUGAS

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan penggantungan empat anggota polis yang didakwa terbabit dalam kematian seorang tahanan lokap, N. Dharmendran baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa pihaknya tidak akan melepaskan mana-mana individu yang bertanggungjawab terhadap kematian dalam tahanan, terutamanya jika proses siasatan dilakukan dengan menggunakan kaedah di luar prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan pasukan itu.

"Ya, ia sedang dilakukan," katanya mengesahkan bahawa empat pegawai polis akan digantung daripada menjalankan tugas.

Awal minggu lalu, polis mendedahkan bahawa empat anggotanya yang terbabit dalam kematian Dharmendran ditukarkan ke unit lain sementara menunggu siasatan kes itu selesai.

Bagaimanapun langkah itu tetap mencetuskan kemarahan orang ramai apabila wujud gesaan yang menuntut agar tugas mereka digantung serta-merta.

Ahmad Zahid sebelum itu meminta semua pihak agar memberi kepercayaaan sepenuhnya terhadap jawatankuasa khas diketuai Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam usaha menangani insiden kematian mengejut tahanan di lokap.

"Saya ingin memberi jaminan kepada masyarakat umum biarpun mereka terdiri daripada parti bersama kerajaan atau di luar kerajaan, selagi diberikan kepercayaan kepada kami, kami tidak bertolak ansur dalam soal kematian.

Dalam kejadian pada 21 Mei lalu, Dharmendran, 32, yang ditahan bersama tiga lagi rakannya di lokap Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, disahkan meninggal dunia setibanya di Hospital Kuala Lumpur selepas mengadu sesak nafas.

No comments:

Post a Comment