Tuesday, June 4, 2013

SAIFUDDIN PILIHAN TEPAT , AZMIN USAH BERANGAN

SHAH ALAM - Pemilihan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai Pegawai Perhubungan Politik Selangor dianggap tepat berdasarkan pengalamannya dalam bidang politik dan tidak perlu dipertikaikan.


Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, peranan Saifuddin juga mampu menyatukan komponen Pakatan Rakyat (PR) di Selangor.

“Saifuddin ialah individu yang rapat dengan ketiga-tiga komponen PR (PKR, Pas dan DAP) oleh yang demikian posisi beliau sebagai 'political liaison' di Selangor adalah pilihan tepat.

“Walaupun bukan anak jati Selangor tetapi beliau mampu menyelesaikan pergeseran antara komponen PR Selangor atas kapasitinya sebagai Setiausaha Agung PKR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan PKR Selangor mempersoalkan tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung pelantikan Saifuddin sebagai Pegawai Perhubungan Politik tanpa berbincang terlebih dahulu dengan Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

Menurut Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei, MPN mahu tahu terlebih dahulu mengenai skop jawatan kerja itu dan mengapa orang politik seperti Saifuddin boleh dilantik memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Pelantikan Saifuddin diumumkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan penggulungan di Kongres Nasional PKR ke-9 di Petaling Jaya, minggu lalu.

Sementara itu Abdul Khalid dalam ucapan ketika kongres itu mengakui kelemahan tidak bijak dalam berpolitik, justeru mengumumkan penubuhan satu 'political liaison' di pejabat menteri besar.

Menteri besar itu berkata, penubuhan 'political liaison' akan mengendalikan hal ehwal politik dalam negeri dan mereka yang dilantik akan terdiri daripada individu yang pakar dalam lapangan tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd Azizuddin berkata, pakatan pembangkang berdepan beberapa isu dan pertikaian antara beberapa pemimpin mereka yang boleh menjejaskan kepimpinan sejak Selangor sejak memenangi negeri itu pada PRU13 yang lepas.

Beliau turut tidak menolak kenyataan bahawa posisi yang digalas Saifuddin ini agak berat kerana perlu menjadi orang tengah yang neutral.

“Sewajarnya tidak perlu wujud persoalan mengapa bukan anak tempatan atau kenapa jawatan ini dipilih daripada PKR bukan parti lain.

“Pada saya, figura ini (Saifuddin) adalah individu yang paling layak dan mereka perlu menghormati beliau sebagai ‘orang tengah',” katanya.

No comments:

Post a Comment