Tuesday, June 4, 2013

368 NGO BUAT LAPORAN

JOHOR BAHRU 3 Jun - Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung) dan Pergerakan Pemuda UMNO negeri membuat laporan polis berhubung tindakan sekumpulan individu yang menghina Yang di-Pertuan Agong menerusi laman sosial Facebook, Sabtu lalu.


Dua laporan berasingan itu dibuat oleh Ketua Penerangan Gabung, Abdullah Md. Yusof dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gelang Patah, Noorisham Ismail di Balai Polis Sentral di sini, kira-kira pukul 1.15 petang.
Abdullah berkata, laporan itu dibuat bagi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas sekumpulan individu yang jelas menghina Yang di-Pertuan Agong dan mempertikaikan kedudukan institusi diraja.


"Gabung yang diwakili oleh 368 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu mengecam sekeras-kerasnya tindakan individu dan kumpulan yang disifatkan sebagai biadab dan kurang ajar.
"Kami berharap laporan polis yang dibuat ini jangan hanya tinggal laporan semata-mata tetapi mahu pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan yang tegas ke atas mereka yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di sini hari ini.


Utusan Malaysia melaporkan gesaan pelbagai pihak termasuk NGO yang mengecam sekumpulan individu dipercayai rakyat Malaysia kaum Cina yang bertindak biadab terhadap ucapan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menerusi laman sosial Facebook.
Mereka dipercayai menulis kata-kata itu di laman sosial berkenaan sewaktu Yang di-Pertuan Agong menyampaikan titah ucapan sempena ulang tahun keputeraan rasmi baginda yang disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).


Menurut Abdullah, dalam laporan sama, pihaknya turut menggesa Kementerian Pendidikan menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas seorang guru wanita Cina di sebuah sekolah menengah di sini yang didakwa menghina orang Melayu dengan mengeluarkan kata-kata yang bersifat perkauman.


Beliau turut meminta agar KDN dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengambil tindakan terhadap sekumpulan individu yang menggelarkan diri mereka Red Bean Army yang menggunakan medium siber untuk menyebarkan mesej berbaur hasutan dan fitnah terutama terhadap kerajaan Barisan Nasional.

No comments:

Post a Comment