Atas Nama Perjuangan
Ke hadapan saudara Melayu Islamku,
Assalamualaikum dan salam perjuangan.Perjuangan bangsa Melayu untuk menegakkan agama dan memartabatkan bangsa adalah satu kebenaran. Sama ada dilihat daripada sejarah, mahupun daripada kesimpulan petunjuk Al-Quran dan Sunnah, perjuangan bangsa Melayu tertegak atas kebenaran, selagi perjuangan itu tidak menyimpang daripada landasan asalnya yakni untuk agama,bangsa dan negara. Kebangkitan bangsa Melayu untuk berjuang terpancar daripada kesedaran Islam sedunia yang dipelopori oleh Sayid Jamaludinal-Afghani dan Muhamad Abduh. Pengaruh kebangkitan Islam ini turut menjalar kenegara ini menerusi ulama-ulama yang mendapat pendidikan daripada Timur Tengah. Kebangkitan Islam ini diasaskan kepada gerakan pembaharuan Islam yang mengajakumat Islam supaya kembali kepada ajaran Islam yang asal yang bersih daripada bidaah dan tokok tambah yang diwarisi daripada pengaruh zaman kemunduran dan kejatuhan tamadun Islam.
Ulama-ulama seperti Syed Syaikh Al Hadi dan Syaikh Tahir Jalaludin , menggerakkan perjuangan bangsa berteraskan kesedaran Islam. Perjuangan ini tidak berlandaskan asobiyyah, perkauman dan fanatik kebangsaan. Walaupun bahasa yang sering digunakan ialah perjuangan bangsa Melayu dan tidak digunakan perjuangan Islam, tetapi mesejnya cukup jelas yakni untuk menegakkan Islam, memartabatkan bangsa dan memerdekakan negara. Didalam menyampaikan kesedaran ini, perjuangan mereka bertemakan islah, tidak hanya membicarakan Islam secara berasingan daripada bangsa melayu. Mereka mengaitkan kebangkitan Islam itu dengan keadaan bangsa Melayu dan negaranya. Ini adalah kerana mereka faham bahawa nasib Islam dinegara ini akan ditentukan oleh orang-orang Melayu sebagai pendokongnya. Orang-orang melayu yang berada dalam keadaan dijajah,miskin dan mundur, tidak mungkin akan dapat memartabatkan agama di bumi yang menjadi milik mereka.Justeru itu, dalam konteks perjuangan Islam, mereka memperjuangkan tanah air,mereka berbicara tentang keadaan dan nasib bangsa. Kemiskinan dan kemunduran bangsa Melayu dianggap penghalang kepada kedaulatan agama Islam dan tanah air mereka yang dijajah, tidak memungkinkan mereka meningkatkan usaha menegakkan agama. Mereka memberikan tumpuan kepada benteng Islam yang mereka ditempatkan untuk menjaganya iaitu di tanah air mereka sendiri. Bumi Islam yang lain ada penjaganya masing-masing dan diamanahkan untuk menegakkan Islam di bumi yang diamanahkan itu.
Perjuangan melayu tidak dicemari oleh perkauman dan asobiyyah. Ini kerana bangsa Melayu mengambil agama Islam sebagai asas jatidiri mereka. Keturunan tidak menjadi perkara asas dalam menentukan jatidiri bangsa Melayu. Justeru itu, bangsa Melayu boleh menerima orang daripada keturunan lain sebagai bangsa Melayu, asalkan ia beragama Islam dan mengamalkan adat resam orang Melayu yang membezakan perwatakan Melayu daripada perwatakan bangsa-bangsa lain.
Kemajuan dan kekuatan bangsa dengan iltizam yang kukuh kepada kehendak agama, menjadi kekuatan kepada perjuangan menegakkan Islam. Kemajuan bangsa Melayu, keupayaan ilmu pengetahuannya,perpaduan dan keutuhan sosialnya, adalah merupakan aset penting bagi kebangkitan Islam dan kekuatannya. Berdasarkan realiti ini, perjuangan memajukan bangsa Melayu, bukanlah perjuangan jahiliah atau assobiyah. Bahkan perjuangan yang hakiki yang teratur dan tersusun untuk bangsa ini menjadi pendokong kuat kepada agama Islam di bumi bertuah ini.
Apabila disebut Melayu perlu bersatu, tidak semua rakyat Malaysia akan terfikir kepada penyatuan UMNO-PAS sahaja sebenarnya. Kita sepatutnya menyedari bahawa sesetengah pihak yang memperjuangkan persepakatan Melayu tidak menyempitkannya kepada penyatuan UMNO-PAS tetapi sebaliknya ia meliputi semua ummah Melayu Islam sekali. Penyatuan UMNO-PAS mempunyai kepentingan strategiknya yang tersendiri. Kedudukan kedua-duanya sebagai parti politik Melayu Islam yang besar sudah semestinya memberikan suatu kesan strategik kepada kedaulatan Islam. Tetapi kesatuan itu tidak akan pergi jauh tanpa penglibatan bangsa Melayu seramai mungkin. UMNO dan PAS tidak mewakili keseluruhan bangsa Melayu. Masih ramai orang Melayu di luar sana yang sebenarnya tidak cenderung kepada UMNO ataupun PAS. Mereka perlu diajak sekali untuk menjayakan kesepakatan ini. Jadi perbincangan itu sepatutnya dibawa melewati sempadan dua parti politik itu sahaja.
Kita perlu faham wujudnya beza di antara ‘bersatu’ dengan ‘sepakat’. Penyokong parti politik rata-rata nampak tidak berminat untuk membezakan di antara dua istilah ini, dan sentiasa menyebut tentang ‘penyatuan’ dan bukan ‘persepakatan’. Penyatuan UMNO-PAS, bukan mudah untuk berlaku. Tetapi ‘kesepakatan’, itu tidak mustahil berlaku dan ia perlu diusahakan agar berlaku.Saya amat yakin kebanyakan pimpinan UMNO dan sebahagian pimpinan PAS mahukan persepakatan itu berlaku, tetapi mungkin ada pengaruh dari luar yang tidak mahukan kesepakatan itu berlaku. Manakala usaha menyatukan UMNO-PAS, rasanya kedua-dua pimpinan parti itu tidak serius untuk memikirkannya kerana ianya agak jauh untuk berlaku di dalam suasana dan percaturan politik sekarang. Dengan ini saya ingin mengajak seluruh rakyat khususnya Melayu Islam kembali memikirkan maksud ‘kesepakatan’ dan kemungkinan untuk ianya berlaku berbanding ‘penyatuan’.
Ada sesetengah individu seolah-olah tidak mengalu-alukan perpaduan atau kesatuan atau persepakatan UMNO-PAS. Saya tidak pasti samada mereka ini memang mewakili PAS ataupun orang luar PAS yang memang tidak mahu kebaikan berlaku kepada PAS. Apa ruginya jika UMNO-PAS bersepakat pada titik-titik tertentu? Imej PAS sebagai parti Islam tidak akan tercalar dengan korupsi dalam UMNO. Dasar perjuangan PAS juga tidak akan tersimpang hanya kerana beberapa noktah kerjasama dengan UMNO. PAS boleh menentukan apa yang perlu disepakati dan apa yang tidak perlu.
Ramai penyokong tegar parti politik dengan jelas kelihatan menjurus untuk menonjolkan keburukan UMNO semata-mata. Sedangkan al-Quran menuntut agar kemarahan kita kepada suatu kelompok manusia tidak menghalang kita memberikan persaksian secara adil kepada kelompok tersebut. Sebahagian beranggapan bahawa UMNO akan mati sendiri dengan segala korupsi yang dilakukannya. Jadi biarkanlah dia mati. Tetapi sedarkah kita bahawa ada ahli UMNO yang ikhlas berjuang untuk Islam dan bangsa di jabatan-jabatan kerajaan, didalam badan-badan dan pertubuhan, di pentas akademik, di surau dan masjid, dipersatuan penduduk dan sebagainya? Mereka ada kepakaran dan kekuatan yang boleh disalurkan untuk ummah. Apa format kita untuk mereka ini? Keluar UMNO dan masuk PAS? Berapa peratuskah dari mereka yang akan melakukan demikian? Sebahagian mereka lebih selesa dengan kedudukan mereka seperti sedia ada. Dengan itu format kesatuan atau kesepakatan UMNO-PAS dapat memelihara kekuatan itu dari terbiar tidak digunakan. Atau adakah penyokong dan pengkritik tegar ini memang berpendapat bahawa ahli-ahli UMNO yang ramai itu memang tidak diperlukan langsung untuk mendaulatkan Islam selagi mereka duduk di dalam UMNO?
Ada sebahagian individu nampak keliru di dalam mendefinisikan maksud kedaulatan Islam itu. Mungkin juga dengan tujuan untuk menampakkan kesatuan UMNO-PAS itu tidak perlu kerana UMNO tidak cemerlang di dalam isu-isu ‘kedaulatan Islam’ yang dipilih itu. Lalu PAS boleh bergerak bersendirian untuk mendaulatkan Islam.
Kedaulatan Islam sepatutnya ditafsirkan dengan penafsiran yang luas seluas kesyumulan Islam itu sendiri. Islam sebagai agama negara, Islam sebagai sumber rujukan tertinggi, kepimpinan negara di tangan orang Islam, majoriti ahli parlimen yang merupakan penggubal dasar dari kalangan orang Islam, hak-hak muslim terpelihara, maruah Islam dan orang Islam terpelihara,orang bukan Islam memandang tinggi agama Islam dan begitulah seterusnya. Adakah UMNO sepanjang sejarahnya tidak pernah langsung memainkan peranan di dalam mendaulatkan Islam dalam ruang lingkup yang luas itu? Bukan untuk membela UMNO,tapi persoalan ini perlu dijawab oleh seorang mahasiswa dengan neraca ilmiah dan bukan berdasarkan emosi semata-mata. Metodologi ilmu di dalam penilaian mesti berdasarkan angka dan fakta yang menyeluruh bukan ambil satu kes di negeri ini dan satu lagi kes di negeri itu sahaja.
Mungkin sukar untuk kita berfikir secara objektif dan bebas dari blok kepartian, namun situasi tanah air kita yang berbilang kaum dan agama memerlukan kita melihat dan menilai sesuatu tindakan dengan berhati-hati.Jangan kerana terlalu marahkan UMNO, kita menjual negara kepada bangsa bukan Islam.
Akhir kata, ayuh, marilah kita bersama-sama mencari jalan,bersepakatan dan bekerjasama demi kelangsungan politik Melayu Islam di bumi bertuah ini. Lupakanlah segala sengketa lama,hasad dengki,dendam kesumat yang masih terpahat dalam jiwa penyokong UMNO mahupun PAS. Sesungguhnya Islam menyukai orang yang pemaaf. Marilah kita bersama-sama membina lembaran baru untuk kedaulatan Melayu Islam di negara ini. Atas kalimah “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku bersaksi sesungguhnya Muhammad adalah pesuruh Allah.” Hulurkan salam ukhuwah demi Islam,Melayu dan Malaysia.
"Satu Syahadah, Satu Kiblat dan Satu Ummah"
Tulisan asal : Datuk Nakhaie bin HjAhmad,
Ust M Fauzi Asmuni,
No comments:
Post a Comment