Friday, May 3, 2013

NEGARA ISLAM BERMARUAH


PASIR PUTEH 2 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sudah lama mengiktiraf dan menghormati Malaysia sebagai sebuah negara Islam berwawasan, maju dan mengamalkan konsep maqasid syariah.
Menurut Perdana Menteri, pengiktirafan itu tidak mungkin diterima Pas kerana perjuangan parti tersebut tidak berupaya menjadikan Malaysia sebuah negara Islam contoh dan dihormati sebaliknya akan menjadikan negara lebih mundur.


"Malaysia dihormati kerana OIC melihat negara ini di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) semakin maju dan berjaya. OIC tidak hormat kepada bendera bulan tetapi pada negara Islam yang kuat kerana ilmu, ekonomi, perdagangan, politik yang mantap dan kita menghayati Islam berpaksikan maqasid syariah.


"Ini Islam kita, inilah yang hendak dibawa oleh BN, bukan Islam yang mundur. Pemimpin OIC akan ketawa jika diberitahu masalah air di Kelantan pun tidak selesai, orang Arab kata, mahu ambil wuduk pun air tidak bersih, mahu mandi wajib pun susah," katanya.
Beliau berucap di hadapan lebih 20,000 orang ramai yang hadir dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Petai, di sini hari ini.


Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan calon-calon BN untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Puteh.
Najib yang juga Pengerusi BN berkata, Ahad ini merupakan peluang kepada rakyat Kelantan memilih kerajaan yang memperjuangkan Islam sebenar atau kerajaan yang hanya pandai berjanji dan menyampaikan ceramah mengenai Islam.


Katanya, Malaysia sudah berada di landasan tepat untuk lebih cemerlang di masa hadapan namun nasib negara akan berubah sama sekali jika ditadbir pemimpin pembangkang yang tidak berkelayakan.
"Kita mahu negara yang macam mana, saya ada visi untuk negara Malaysia kita ini, kerajaan BN ada wawasan untuk negara kita, wawasan kita ingin Malaysia menjadi negara Islam yang kuat, dihormati dan bermaruah," katanya.


Najib berkata, gambaran sebenar negara Islam yang perlu diketengahkan adalah yang mampu berdiri sendiri, memakmurkan rakyat dan mempunyai kekuatan membantu negara-negara Islam lain.
Perkara itu, tambah beliau, dibuktikan kerajaan BN yang turut membantu negara Palestin seperti membina masjid, sekolah dan pusat pentadbiran Jabatan Perdana Menteri di Gaza.


"Apabila kita berjaya, orang hormat kepada kita, adakah Pas boleh mendapat penghormatan seperti ini di Gaza, tidak dapat, malah pergi sana pun tidak mahu.
"Masalah Pas ceramah sana tapi pengisiannya kosong, habuk, bulat macam simbol Pas," katanya.

No comments:

Post a Comment