Wednesday, May 8, 2013

MEREKA DI TIPU


Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pengundi Cina ditipu pakatan pembangkang kononnya mampu mengubah kerajaan hingga terdorong mengundi parti tersebut khususnya DAP dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Walau bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, usaha tersebut gagal dan kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga kini tidak tumbang serta masih kekal selepas selesai pilihan raya umum tersebut.

Beliau berkata, meskipun sebahagian besar masyarakat Cina menyokong pembangkang namun BN juga berjaya mendapat sokongan padu golongan bumiputera, orang Melayu, India dan masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak.

“Walaupun sokongan mereka kepada DAP atau pembangkang di sesetengah tempat mencapai 90 peratus atau 85 peratus, namun dengan sokongan daripada orang Melayu, Iban, Kadazan mahupun orang India kerajaan masih kekal sebagai kerajaan BN," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Ahli-Ahli Parlimen BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Najib mengulas corak sokongan pengundi Cina yang cenderung menyokong DAP yang dilihat banyak pihak berlaku kerana terpedaya dengan hasutan parti bersifat cauvinis tersebut.

Najib berkata, apa yang tidak disedari pengundi Cina adalah kerajaan tidak boleh diubah tanpa sokongan kaum bumiputera.
“Ini yang hendak kita terangkan, mereka telah dikelentong, ditipu dan dikudakan pembangkang. Kita perlu terangkan kepada mereka yang DAP dan pembangkang telah melakukan penipuan besar," katanya.
Dalam masa sama, Najib turut mengajak media memainkan peranan memberi penjelasan sebenar.

“Nampaknya akibat penipuan ini kaum Cina yakin undi mereka akan membuatkan kerajaan berubah kepada pembangkang. Penipuan ini serupa dengan janji pembangkang 16 September 2008.

“Sebenarnya apa yang pembangkang cerita semuanya tidak betul dan banyak juga ditokok tambah misalnya, kita membawa 40,000 pekerja Bangladesh untuk mengundi dalam pilihan raya ini," katanya.

Dalam pada itu, Najib mengakui sokongan orang Melayu kepada BN semakin kukuh berbanding pilihan raya umum 2008 selepas jumlah kerusi UMNO berjaya ditingkatkan daripada sebanyak 77 kepada 88.

Kepada satu soalan, Najib berkata, sekiranya tahap sokongan pengundi Cina dalam pilihan raya umum kali ini sama seperti 2008, BN mampu mencapai kemenangan majoriti dua pertiga.

“Katakanlah cuma 25 peratus sahaja kaum Cina menyokong BN, kita mampu dapat dua pertiga majoriti," katanya.

No comments:

Post a Comment