Sunday, May 19, 2013

KUASA MEDIA DAJJAL


Oleh: AZMAN HUSSIN
DUNIA hari ini bergerak terlalu pantas. Apa yang berlaku di Amerika akan diketahui dalam masa yang sangat singkat di Malaysia. Tidak perlu menunggu esok pagi untuk keluar ke kedai membeli surat khabar. Berita semalam sudah tidak relevan hari ini. Maklumat cepat disebar dan diketahui, secepat Dajjal bergerak, sekelip mata. Dunia sudah menjadi sebuah perkampungan kecil di bawah tapak kaki gajah. Sekali hayya alash sholah hayya alal falah dilaungkan, seluruh kampung mendengar gema bunyinya.
Sebuah kisah pendek yang ditulis oleh Idris Shah (1924-1996), seorang penulis kisah sufi, berketurunan Afghanistan yang lahir di India, sangat menarik untuk dijadikan sebagai analogi berkenaan bahayanya maklumat tanpa kawalan. Ia berkenaan maklumat yang cenderung mudah disalahtafsir sehingga menimbulkan impak yang sangat besar. Kisah ini adalah elok untuk ditimbulkan semula dalam keadaan aktiviti dunia hari ini yang banyak dipengaruhi maklumat.
Mengikut Idris Shah, apabila tulisannya itu diolah semula, ada dua buah kota yang berdekatan, yang dipisahkan oleh sebatang jalan besar. Pada suatu hari kelihatan seorang lelaki berair mata dan menyapu kelopak matanya dengan saputangan di kaki lima jalan itu. Kejadian ini dilihat oleh seorang kanak-kanak, yang kemudiannya berteriak memberitahu hal itu kepada orang ramai di kota bersebelahan. 
Entah bagaimana, daripada mulut ke mulut, cerita daripada kanak-kanak tadi telah ditafsirkan sebagai ada malapetaka besar sedang berlaku di kota pertama. Penduduk kota telah bermesyuarat, dan mereka mengambil keputusan drastik untuk segera lari mengelakkan musibah tersebut berjangkit ke kota mereka.
Sesudah penduduk kota kedua lari, penduduk kota pertama juga berfikir sebaliknya, iaitu ada musibah di kota kedua. Mereka mengambil keputusan yang sama. Maka kosong dan sunyilah kedua-dua buah kota tersebut.
Mereka membina penghidupan baru di sebuah tempat lain.
Berabad-abad lamanya mereka terus tidak dapat mengetahui sebab-musabab sebenar yang membawa kepada penghijrahan besar-besaran tersebut. Mengapakah datuk nenek moyang mereka meninggalkan kota tersebut?
Mereka saling berteka-teki mengenai hal itu, yang tiada siapapun tahu apa sebenarnya telah berlaku.
Kisah ini kelihatan tidak logik , tetapi renunglah mesej tajam yang boleh dicerna dari kisah ini. Sebuah maklumat atau berita boleh membawa implikasi yang sangat buruk dan besar.
Dalam ledakan teknologi komunikasi hari ini, maklumat atau berita mudah disebar, disalahfahami, ditokokt ambah, dicipta, dan dieksploitasi oleh pihak-pihak berkepentingan peribadi. Fitnah, khabar angin, berita palsu ini mudah hidup dan mudah dipercayai benar.
Pasca Pilihanraya Umum ke-13, terdapat pelbagai cerita yang tidak dapat dipastikan kesahihannya, tetapi ramai yang percaya dan menyakininya sebagai benar. Misalnya peristiwa blackout di dewan mengira undi, kenaikan harga-harga barangan dapur atau kenaikan harga runcit minyak petrol sehari selepas PRU13. Adakah ini benar?
Yang jelas, tidak ada bukti untuk membenarkannya, melainkan ia kemudian disahkan hanya sebagai fitnah untuk menimbulkan kebencian kepada kerajaan, dan bertujuan menjatuhkan kerajaan melalui protes jalan raya.
Persoalannya, jika benar terjadi blackout misalnya, di manakah blackout itu terjadi? Tiada siapa yang dapat menjawabnya, tetapi ramai yang mempercayainya.
Ironinya, setiap hari kita menggunakan minyak petrol, dan kita dengan mudah saja boleh mengesahkan sama ada harganya naik ataupun tidak. Tetapi manusia lebih mempercayai khabar angin dalam alam maya daripada menyelidiknya sendiri.
Hakikatnya, walaupun ia telah disahkan palsu, berapa ramai orang yang sudah tertipu dengannya, menerimanya bulat-bulat tanpa soal? Ia mungkin hanya dicipta dan disebarkan oleh sekumpulan manusia di dalam sebuah bilik berhawa dingin, tetapi kesannya merata ke dalam masyarakat.
Hanya dengan memiliki gajet seperti fon yang bersepadu dengan internet, yang harganya semurah RM300, maklumat boleh diakses sebegitu mudah. Satu dunia kini berada di bawah satu jari telunjuk. Itulah harganya.
Sesebuah kerajaan tidak lagi dapat menahan atau menapis sesebuah maklumat daripada disebarkan dalam zaman ledakan teknologi ini. Tidak kira sama ada berita itu baik ataupun tidak kepada masyarakat. Internet, ia tidak seperti media konvensional, iaitu televisyen, surat khabar dan majalah yang lebih mudah dihadapi dan lebih bertanggungjawab, dan boleh dihadapkan ke mahkamah jika ia melakukan kesalahan. Ditambah lagi dengan kewujudan rangkaian-rangkaian sosial yang popular dan telah menjadi budaya masyarakat seluruh dunia hari ini, maka maklumat mudah tersebar dengan sekali klik share.
Pada masa akan datang, semua maklumat ini tidak akan dapat dikawal sepenuhnya. Ia akan merobohkan tembok-tembok sempadan negara (seperti Yakjuj-Makjuj melubangi tembok yang dibina Iskandar Zulkarnain).
Kerajaan-kerajaan di dunia ini boleh mengenakan akta-akta tertentu untuk menyekat maklumat-maklumat ini, tetapi pada zaman globalisasi ini, ia akan diratakan oleh media elektronik. Setiap rumah diramal akan memiliki capaian internet, seperti setiap rumah pada akhir zaman akan dimasuki dajjal.
Apakah bahaya maklumat tanpa kawalan dalam konteks kehidupan hari ini?
Misalnya, disebarkan dalam rangkaian sosial seperti Facebook, bahawa seorang pemuda Melayu telah dibunuh oleh seorang pemuda India atas dasar perkauman. Berita yang ditulis dengan tujuan menimbulkan huru-hara ini akan segera tersebar di alam maya, walaupun kesahihannya tidak dapat dipastikan. Seorang Melayu akan melihat seorang dengan penuh curiga, begitu sebaliknya juga. Sebelum sempat pihak berkuasa menyiasat kebenaran berita ini, suasana sudah menjadi panik. Timbullah kekacauan seperti yang diharapkan pencetus berita ini. Melayu akan membalas perbuatan tersebut, dan ini akan saling berbalas tanpa henti. Sekalipun diketahui berita tadi adalah palsu atau fitnah, ia tiada gunanya lagi setelah api perkauman telah merebak dan membakar seluruh negara.
Ini satu andaian yang sangat logik untuk diterima akal yang waras.
Dalam keadaan dunia yang sibuk ini, manusia tiada masa untuk menyiasat sesuatu perkara itu dengan teliti. Maklumat demi maklumat terus diasak masuk dalam pemikiran masyarakat. Ia akan melahirkan suatu persepsi awam.
Itu boleh berlaku di dalam sesebuah negara. Bagaimana dengan perkembangan di seluruh dunia?
Media-media elektronik dunia hari ini dikuasai Yahudi beraliran Zionis. Mengapa mereka mahu menguasai media-media elektronik ini? Mereka ingin menakluki dunia ini. Dengan menguasai teknologi sumber maklumat, mereka boleh menyebarkan propaganda dan membentuk persepi yang mereka mahukan ke atas sesuatu peristiwa, tokoh, negara dan sebagainya. Mereka boleh mengeksploitasi sepenuhnya sesuatu berita itu untuk kepentingan mereka.
Seperti yang terjadi hari ini, bagaimana media-media kuffar telah menggambarkan Islam melalui Osama Ben Laden dan al-Qaeda. Dikatakan di Afghanistan, nama al-Qaeda tidak begitu dikenali seolah-olah al-Qaeda hanya entiti ciptaan CIA. Sesetengah orang berpendapat Osama itu hanya watak ciptaan berlebihan Zionis dan US untuk memburukkan Islam. Maklumat yang kita perolehi tentang Osama semuanya melalui media kuffar.
Bagaimana media kuffar melogikkan Osama dengan serangan ke atas WTC pada 11 September, semuanya menimbulkan pertanyaan tidak terjawab. Apa yang kita fahami mengenai Osama adalah dari kacamata kuffar.
Kerana itu dikatakan, sesiapa yang mempercayai sumber daripada internet, maka internetlah yang akan memerintah mereka.
Hanya yang pasti, kita telah diperingatkan mengenai hal ini di dalam al-Quran; “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan kebenarannya) supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah Hujarat ayat 6).
Kesimpulannya, apakah yang membuat lelaki dalam kisah Idris Shah tadi menangis?
Dia bukan menangis. Matanya pedih dan berair kerana menghiris bawang.

No comments:

Post a Comment