Seorang lagi pemimpin Pas secara terbuka menolak usaha Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjatuhkan Kerajaan Persekutuan yang dipilih secara sah oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 melalui siri perhimpunan jalanan dengan menyifatkan tindakan tersebut sebagai gopoh.
Malah, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohd. Abduh Nik Abdul Aziz mengajak orang ramai memikirkan kemenangan melalui kesabaran, bukannya melalui ledakan di jalan raya.
"Anda terfikir untuk 'spring' dan memperolehi kerajaan melalui ledakan di jalan raya?
Itu adalah gopoh.
"Fikirkan kemenangan melalui kesabaran. Kesabaran adalah kunci yang membuka. Apa perlu kemenangan yang isinya belum ranum," katanya menerusi laman Facebook beliau hari ini.
Niat pembangkang mencetuskan huru-hara bagi menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipilih secara sah oleh rakyat pada 5 Mei lalu semakin jelas selepas melakukan beberapa siri demonstrasi sebelum ini selain merancang siri demonstrasi lain pada masa depan.
Malah, hasrat jahat pembangkang itu turut yang dinyatakan aktivis jalanan propembangkang, Hishamuddin Rais dan aktivis mahasiswa propembangkang, Adam Adli Abd. Halim dalam Perhimpunan 13 Mei di Dewan Perhimpunan Cina Selangor minggu lalu.
Semalam, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dalam Facebooknya berkata, pihaknya berpegang teguh bahawa demokrasi merupakan jalan terbaik untuk menukar kerajaan di negara ini.
Jelasnya, pendirian beliau itu selari dengan kepimpinan Pas Pusat yang sejak dahulu sentiasa memilih jalan demokrasi untuk menukar kerajaan.
Menurut Nik Mohd. Abduh, golongan muda perlu insaf kerana semangat berkobar-kobar tidak boleh meminggirkan sifat sabar dalam memburu kemenangan.
"Padukan tenaga. Tambahkan bilangan. Berikan senjata ilmu dan maklumat untuk anak muda. Gerhana bulan adalah kekuatan dan keagungan, bukan kesedihan dan ketakutan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment