Tuesday, April 9, 2013

SENDIRI CARI PENYAKIT


Bukan sahaja gagal mendapat habuan selepas memecah masuk tiga rumah semi D sederet di Persiaran Damansara Endah di sini hari ini, malah lima perompak bakal meringkuk dalam penjara setelah ditangkap polis selepas mengepung mereka selama enam jam.


Penjenayah berusia 20 hingga 30 tahun itu memasuki rumah pertama pada pukul 4 pagi tetapi gagal menemui barang-barang berharga sehingga memaksa mereka memecah masuk dua lagi rumah jiran terletak bersebelahan yang kebetulan ketiga-tiga kediaman itu tiada berpenghuni semasa kejadian.


Kegiatan jenayah itu bagaimanapun disedari oleh jiran berhampiran lalu menghubungi polis menyebabkan penjenayah yang masih berada di rumah ketiga terperangkap dan berjaya ditangkap selepas enam jam dikepung.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Azlee Abdullah berkata, tiga daripada penjenayah terbabit ditangkap pada pukul 12 tengah hari selepas kembali memasuki rumah kedua yang dipecah masuk kerana menyangka polis yang mengepung mereka sudah beredar.

Beliau berkata, dua lagi suspek ditahan di luar rumah semasa cuba meloloskan diri untuk mengambil kenderaan.

"Polis percaya suspek yang menaiki kereta jenis Mitsubishi Airtrek semasa melakukan jenayah itu mempunyai kepakaran tinggi dalam kegiatan rompakan dan samun.
"Semasa ditahan, polis turut menemui pelbagai peralatan digunakan untuk memecah rumah terdiri daripada parang, pisau, besi pemotong, sepucuk pistol dan peluru," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Azlee, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek sudah banyak kali melakukan kegiatan pecah rumah sebelum ini.
Katanya, siasatan sedang dijalankan bagi mengesan saki-baki anggota kumpulan penjenayah itu dan kes disiasat mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971


No comments:

Post a Comment