Wednesday, April 17, 2013

PM BAKAL DISERANG HABIS-HABISAN


Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang diumumkan semalam menampilkan satu muka baru untuk menawan Parlimen dan Dun Pekan.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang kekal bertanding di Parlimen Pekan akan diserang dalam pertandingan tiga penjuru apabila calon mahasiswa, Mohd Bukhairi Sofian daripada Gerakan Mahasiswa ke-13 (GM13) mengesahkan akan bertanding pada PRU13 bersama seorang lagi calon Ketua AMK, Fariz Musa.

Pengekalan calon bagi kerusi Parlimen dan tiga Adun selari dengan tanggungjawab yang dipikul iaitu memastikan BN terus popular mendominasi kerusi Parlimen Pekan dan empat Dun seperti tercatat dalam sejarah PRU12.

Keputusan meletakkan calon muka baru iaitu Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Datuk Sheikh Mohd Fauzi Sheikh Ali di Dun Peramu Jaya menggantikan Adun sebelumnya dilihat sebagai percubaan yang bakal mengundang reaksi masyarakat di kawasan tersebut.

Namun begitu, Datuk Sheikh Mohd Fauzi sebenarnya tidak begitu asing dalam kalangan penduduk Peramu terutamanya di Kampung Tanah Putih dan Pulau Serai di mana Dun Peramu  adalah kampung halamannya sendiri.

Penglibatannya dalam beberapa projek pembangunan untuk membantu rakyat miskin sekitar Dun Peramu menjadi ukuran awal terhadap kemampuan beliau memikul status sebagai wakil rakyat.

Bekas Adun Peramu, Ibrahim Awang Ismail masih kekal bertanding, namun kali ini beliau dipertanggungjawabkan memenangi hati masyarakat di Dun Bebar di mana sebelumnya tegar ditawan Datuk Ishak Muhamad yang tidak lagi diturunkan setelah menjadi jaguh Dun berkenaan sejak PRU9.

Kerja kuat dan kelantangannya ‘membasuh’ kumpulan GM13 yang berkempen di Parlimen Pekan berjaya mengekalkan Khairudin Mahmud sebagai calon pilihan BN bagi merebut kerusi Dun Pulau Manis sekali lagi selepas menamatkan tempoh sebagai wakil rakyat penggal pertama.

Keyakinan terhadap pengaruh dan kemampuan membangunkan gugusan Felda serta kampung tradisional secara menyeluruh dalam Dun Chini menjadi titik tolak kepada kepimpinan tertinggi Umno untuk kembali memilih Datuk Abu Bakar Harun sebagai calon pertaruhan BN.

No comments:

Post a Comment