Pas Kelantan dikatakan mengalami pergolakan dalaman agak serius dalam menentukan calon-calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) 5 Mei ini.
Difahamkan, sehingga lewat malam tadi, barisan kepemimpinan parti itu diterajui oleh Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, masih belum menemui kata putus soal siapa akan bertanding di beberapa bahagian antaranya, Bachok, Ketereh, Pasir Mas dan Pasir Puteh.
Menurut sumber, senarai calon yang diputuskan awal tidak mendapat sokongan serta menerima bantahan daripada beberapa pihak, sehingga memaksa kepimpinan Pas Kelantan beberapa kali bermesyuarat semula.
Malah wujud dakwaan proses pemilihan calon Pas Kelantan pada kali ini berkonsepkan 'kronisme' apabila wakil yang disenaraikan mempunyai hubungan secara langsung dengan pemimpin tertentu.
Sebagai contoh, meskipun senarai calon belum diputuskan, namun kedengaran poster individu tertentu telah dicetak, sehingga dikatakan mengetepikan konsep musyawarah yang didakwa menjadi pegangan Pas selama ini.
Selain itu, wujud berpuak-puak dalam pemilihan kali ini sehingga ada dakwaan mengatakan senarai calon yang bakal dibariskan merupakan 'suara' atau 'mewakili' kepentingan pemimpin tertentu.
"Konsep anak-beranak, waris-warah, ipar-duai menjadi teras pemilihan calon. Penyakit di zaman Allahyarham Datuk Mohd. Asri Muda nampaknya menjadi turutan dan ikutan," kata sumber berkenaan kepada Utusan Malaysia hari ini.
Sebelum ini, Pas dijadual mengumumkan senarai calonnya pada Himpunan Kelantanku Hijau di Padang Perdana, dekat sini, Jumaat lalu.
Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan dengan alasan penamaan calon dijangka lebih awal, bukannya 20 April ini.
Pengumuman calon-calon Pas sebaliknya dijadual diumumkan pada malam ini di Padang Majlis Daerah Machang.
Kegagalan Pas yang lewat mengumumkan calonnya berbanding Barisan Nasional (BN) dilihat oleh banyak pihak berpunca daripada pergolakan dalaman yang sedang berlaku.
Menurut sumber itu lagi, Ketua Penerangan Pas Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzly Hassan langsung tidak dilibatkan dalam proses pemilihan pada kali ini dan keadaan itu turut mencetuskan rasa kurang senang pihak tertentu.
Jelas sumber itu lagi, sebelum ini kekecohan sememangnya berlaku dalam pemilihan calon Pas Kelantan, namun senario yang berlaku kali ini lebih serius, dengan Nik Abdul Aziz sendiri dikatakan tidak dimaklumkan mengenai pemilihan calon-calon tertentu.
Satu sumber lain pula memberitahu, kekecohan turut berlaku pada mesyuarat calon Pas Kelantan di JKR 10 malam kelmarin apabila ada individu tidak tersenarai dipanggil untuk mengambil borang penamaan, manakala yang telah tersenarai tidak pula diminta berbuat demikian.
Kekecohan dikatakan turut berpunca dengan pencalonan individu yang dikaitkan dengan pelbagai masalah moral dan skandal kerana tindakan itu dikhuatiri menjejaskan peluang Pas bagi mempertahankan Kelantan.
Malah, dikatakan ada individu tertentu yang belum menerima watikah pencalonan, diminta mengisi borang dan mengambil gambar untuk dijadikan poster kempen.
Masalah berkenaan turut dikaitkan dengan ketidakcekapan pengurusan parti yang dilihat begitu ghairah membantu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP ke Putrajaya sehingga mengabaikan hal dalaman.
Difahamkan, bagi mengelak pergolakan lebih serius, semua calon telah diminta berbaiah, namun tidak dapat pasti sama ada ia akan dipatuhi atau sebaliknya.
No comments:
Post a Comment