Monday, February 4, 2013

MENEMPAH JALAN BERLIKU



Di perkampungan haram Seberang Kereta Api Sungai Korok,lebih sebatu dari bandar Alor Setar,di sebuah rumah buruk,sebuah keluarga miskin sedang menghadapi lelaki tua yang sedang uzur.Sakitnya pada hari itu bertambah tenat, batuknya tidak putus-putus tiba-tiba memuntah darah.Banyak tompokan merah pada tikar mengkuang yang sudah usang.Seorang ibu selama ini hanya merawat ayahnya itu dengan perubatan kampung menjadi cemas dan menyuruh anak lelakinya segara memanggil doktor.Tanpa bertanya sama ada ibunya mempunyai wang atau tidak,anak yang turut cemas dengan keadaan datuknya terus berlari anak menuju ke bandar Alor Setar.Pembantu klinik meminta tunggu sekejap dan kemudian membenarkannya masuk.
    "Doktor,datuk saya sakit teruk"
    "Di mana?"
    "Di Seberang Kereta Api Sungai Korok,masih ikut lorong Sekolah Najat sehingga ke penghujung jalan        
     dan terpaksa berjalan kaki ke rumah saya kerana kereta tidak boleh masuk."
    "Baiklah,pulang dahulu,nanti saya datang."
   Tidak lama kemudian doktor pun datang.Dia tidak bercakap banyak,hanya memeriksa dan memberikan ubat kepada pesakit.
   Apabila ditanya tentang bayaran,doktor berkata,"Berapa yang ada berilah."Ibu memberikannya dua ringgit dan doktor mengambilnya lalu pulang.
   Peristiwa yang dialami lebih 30 tahun dahulu itu meninggalkan kesan yang amat mendalam di jiwa saya hingga ke hari ini.
   Pada masa itu,doktor ini tidak mengenali saya dan saya tidak pernah menemuinya.Ketika itu saya masih belejar di Maktab Mahmud Alor Setar.Langkah saya ke klinik semata-mata didorong oleh cerita dari mulut ke mulut tentang seorang doktor yang baik di Alor Setar: Dr. Mahathir Mohamad.
   Sebagai anak muda yang masih dalam umur belasan tahun dan dari sebuah keluarga miskin,saya berasa bangga dan amat besar hati di atas kesudian seorang doktor datang ke rumah kami yang buruk untuk merawati datuk.Ini mengesahkan cerita tentang kebaikan hatinya dan simpatinya kepada orang ramai.
   Saya tidak syak sedikit pun tentang keikhlasan dan kejujurannya.Beliau tidak bertujuan untuk mencari populariti kerana ketika itu tidak ada pilihan raya dan tidak ada sebarang pertandingan untuk merebut jawatan dalam UMNO.
    Apa yang dilakukan adalah dari kesedaran,keinsafan dan rasa tanggungjawab terhadap golongan miskin pada masa itu
    Saya hanyalah salah seorang daripada ribuan orang yang telah mendapat simpati daripadanya.Namanya telah pun meniti dari bibir ke bibir sejak 1954 lagi,iaitu beliau memulakan perkhidmatan sebagai doktor di Pulau Langkawi,Perlis dan Jitra setelah menamatkan latihan di Pulau Pianang.
   
    

No comments:

Post a Comment