Saturday, October 13, 2012

ELAK NAFSU KUASAI DIRI : TUN 1998



 Manusia biasanya amat gemar melihat yang tinggi jatuh merudum. Perasaan iri hati dan benci memang kuat dalam hati manusia. Tetapi manusia juga dikurniakanTuhan dengan akal fikiran, tahu apa dianya keadilan, tahu menimbang di antara sesuatu dengan yang lain walaupun dengan perkara yang tidak boleh ditimbang atau diukur secara fizikal. Manusia tidak seperti haiwan yang tidak ada akal fikiran dan tidak tahu membanding dan menimbang di antara sesuatu dengan yang lain. Haiwan hanya mempunyai nafsu. Masyarakat manusia yang membenarkan diri mereka dikuasai oleh nafsu semata-mata tidak mungkin dapat mendirikan tamadun yang tinggi, tamadun yang mampu berjaya, yang boleh membawa kebahagiaan hidup kepadanya.

 Dalam masalah kegawatan ekonomi yang kita hadapi ini, kita, terutama UMNO, ahli-ahlinya, pemimpin- pemimpinnya di semua peringkat, tidak boleh membenarkan nafsu menguasai pemikiran kita. Sebaliknya pemikiran hendaklah menguasai atau sekurang-kurangnya membendung nafsu. Biarlah orang lain dikuasai perasaan iri hati, benci, dendam dan sebagainya. Apa juga yang kita lakukan hendaklah diasaskan kepada pemikiran dan perhitungan sesuai dengan tamadun yang tinggi, insya- Allah.

 Apakah benar kegawatan dan kemerosotan ekonomi disebabkan oleh Kerajaan-kerajaan negara Asia Tenggara dan Timur tidak cekap, tidak telus, korup, mengamalkan `crony-capitalism` dan sebagainya? Jika benar, sejak bila? Apakah ia bermula pada bulan Julai 1997? Atau mungkinkah dalam beberapa bulan atau tahun sebelum 1997 keburukan pemerintahan negara-negara ini telah sama-sama menjadi begitu ketara? Mungkin. Tetapi sehingga bulan Julai 1997 negara-negara ini dipuji kerana kecekapan pemerintah mereka. Negara mereka digelar `Harimau` dan `Naga Asia`, dengan ekonomi yang berkembang pesat, dengan industri yang bertaraf dunia, yang mampu mengeluarkan barangan yang canggih yang boleh bersaing dengan jayanya di pasaran dunia. Rakyat mereka mewah, mempunyai pekerjaan, tidak merusuh dan pecah kedai untuk mencuri barang.

Tiada siapa menafikan adanya korupsi, ketidaktelusan dan sebagainya dalam Kerajaan-kerajaan di Asia Timur ini. Negara maju di Barat pun tidak bebas daripada gejala ini. Tetapi negara yang terlalu buruk pemerintahannya tidak mungkin dapat dibangunkan dengan pesat. Banyak negara membangun yang tidak dapat dimajukan sama sekali kerana pemerintahan yang korup, tidak telus, tidak cekap dan lain-lain. Kenapakah negara yang jelas mempunyai pemerintahan yang terang- terang korup dan tidak telus tidak mengalami kejatuhan nilai matawang seteruk negara-negara Asia Timur? Kita hairan mengapa ada negara-negara membangun yang dahulu tidak dapat dibangunkan walaupun di tahap yang sederhana tetapi hari ini nilai matawang mereka lebih tinggi daripada matawang kita. Sebaliknya negara-negara Asia Tenggara yang sekarang dikatakan mempunyai pemerintahan yang buruk pernah tumbuh dengan pesat dan tinggi dahulu, sehingga digelar `Harimau` ekonomi.

No comments:

Post a Comment