Tuesday, July 17, 2018

KOS ECRL RM55 BILION TERLALU MAHAL, BOLEH BUAT SATU LAGI PROJEK KERETA API SELURUH SEMENANJUNG



Saya mengambil maklum perkembangan terbaru dalam jawapan bertulis Jabatan Perdana Menteri (JPM) bahawa Kerajaan China telah mengemukakan tawaran pakej kewangan yang menarik dan memberi kelebihan kepada Malaysia dalam pelaksanaan Projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion.

1. Bagi saya kos ECRL yang akan dibina mulai Julai 2017 dan dijangka siap pada 2024 ini terlampau tinggi. Sedangkan pada 26 Julai lalu, laman pendedah maklumat Sarawak Report (SR) telah melaporkan bahawa kos sebenar projek berkenaan hanyalah RM27 bilion. Namun SR mendakwa kosnya sengaja ditingkatkan bertujuan mengumpul dana bagi membayar hutang-hutang 1MDB.

Pendedahan SR itu dilengkapi 'leaked documents' yang menunjukkan anggaran kos projek serta memaparkan jadual pembayaran hutang 1MDB. Dalam hal ini timbul persoalan, adakah rakyat Malaysia dipaksa berhutang dengan bank China bagi menutup hutang 1MDB?

2. Projek tersebut yang menghubungkan Lembah Klang dengan Kuantan, Pahang sehingga ke Terengganu serta Tumpat di Kelantan dianggarkan sejauh 600 kilometer. Jika kos ECRL dikaji secara kasar, yang mana RM55 bilion dibahagikan kepada 600 kilometer maka kos per kilometer adalah bersamaan dengan RM92 juta.

Sedangkan kos pembinaan landasan paling mahal adalah RM36 juta per kilometer (projek kereta api paling sukar dibina, Yi Chang-Wanzhou Railway). Sekiranya anggaran itu digunakan kepada ECRL maka kerajaan boleh membina 1,527 kilometer atau 2.5 kali ganda lebih panjang daripada projek asal.

Dengan ini, kerajaan tidak perlukan ECRL dan projek keretapi laju ke Singapura (HSR). Dengan baki lebihan bajet itu juga kerajaan mungkin boleh menaiktaraf servis KTMB.

3. Projek ECRL juga menimbulkan beberapa persoalan yang perlu dijawab oleh kerajaan Malaysia berhubung lantikan kontraktor dan sub kontraktor yang diragui dipilih dalam kalangan syarikat tempatan.

Juga, apakah jaminan kerajaan bahawa pekerja-pekerja projek ini adalah warga tempatan? Adakah benar pekerja asing dari China akan dibawa masuk semata-mata kerana kos buruh yang lebih murah?

4. Sehubungan itu, saya bercadang merangka satu polisi mengenai pengangkutan awam sebagai alternatif kepada projek-projek BN yang menggunakan kos melampau.

Mengikut pandangan Pakatan Harapan, bajet besar yang digunakan BN tersebut membolehkan negara membangunkan industri pengangkutan awam bersepadu yang meliputi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Selain itu, Pakatan Harapan juga komited untuk meningkatkan peratusan perbelanjaan pembangunan (termasuk pengangkutan awam) dalam Bajet Kerajaan Persekutuan sekiranya memerintah selepas pilihan raya umum ke 14 kelak.

YB Lee Chean Chung
ADUN Semambu

Pakatan Harapan

sumber : https://www.facebook.com/PakatanHarapanRasmi/photos/a.725275934302918.1073741828.725215580975620/740662819430896/?type=3&theater

No comments:

Post a Comment