Thursday, March 22, 2018

HANYA UMNO, PAS PERJUANGKAN ISLAM DAN MELAYU





PARTI politik di Malaysia berkembang dan tumbuh dengan pesat. Pada umumnya, parti politik di negara ini tidak dapat dipisahkan daripada kaum tertentu.

Sesebuah parti politik yang tidak berasaskan kepada kaum tertentu umumnya agak sukar untuk mendapat sokongan besar dan terus hidup lama. Ini selaras dengan struktur dan komposisi penduduk Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan.

Apakah parti politik Melayu sebenar di Malaysia? Adakah UMNO, PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) semuanya parti politik Melayu? Apakah hujah yang membolehkan sesebuah parti politik itu dikatakan parti politik Melayu atau tidak? Benarkah jika dikatakan bahawa PKR itu parti politik Melayu?

Sejauh mana benarnya jika dikatakan bahawa hanya UMNO dan PAS parti politik Melayu dan yang lain bukan parti politik Melayu? Apakah hujah dan buktinya bagi menyokong kenyataan itu?

Inilah antara persoalan yang akan dibincangkan oleh penulis dalam artikel ringkas ini. Pentafsiran yang tepat mengenai apa itu politik Melayu penting, khususnya ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semakin hampir.

Ini juga difikirkan penting kerana pengundi Melayu yang menjadi pengundi utama dan yang akan menentukan corak dan penguasaan politik negara selepas PRU-14 nanti. Silap perkiraan dan kesilapan, keputusan pengundi Melayu akan memberikan kesan besar kepada politik negara.

Perjuangan Islam dan Melayu

Penulis melihat hanya UMNO dan PAS yang boleh dikatakan sebagai parti politik Melayu. Ini dilihat dari segi prinsip asas perlembagaan parti dan perjalanan sejarah serta pencapaian parti itu. Kedua-dua parti UMNO dan PAS meletakkan perjuangan Islam dan Melayu dengan jelas dalam perlembagaan partinya.

Walaupun kedua-duanya mempunyai pertentangan dalam beberapa aspek, asas perjuangannya mempunyai beberapa persamaan.

Prinsip asas UMNO dan PAS adalah Melayu dan Islam. Perjuangan asasnya untuk orang Melayu dan Islam (walaupun ia juga melindungi dan menjaga kepentingan kaum lain yang tidak boleh dipisahkan dalam negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum). UMNO dan PAS juga bekerjasama dengan parti politik bukan Melayu, tetapi PAS dan UMNO menjadi pihak yang dominan.

UMNO bekerjasama dengan MCA, MIC, GERAKAN dan parti lain, tetapi yang dominan dan memainkan peranan utama ialah UMNO. Begitu juga dengan PAS, pernah bekerjasama dengan DAP dan PKR dalam pakatan pembangkang (PR), tetapi apabila dilihatnya DAP amat bertentangan dengan prinsip asas perjuangan PAS, kerjasama politik dengan DAP itu berakhir.

Tindakan PAS menarik diri sebagai anggota dalam pakatan pembangkang adalah tepat. Matlamat utama sesebuah parti politik itu mesti dijaga. Dalam hal matlamat dan perjuangan PAS, persoalan yang berkaitan dengan Islam tidak boleh dipandang ringan.

PAS pernah menguasai beberapa negeri. PAS menguasai politik Kelantan, Kedah dan Terengganu. Pengaruh PAS sentiasa kuat di tiga negeri majoriti pengundi Melayu-Islam ini. Pengalaman PAS berjaya membentuk kerajaan negeri di tiga negeri Melayu yang disebutkan di atas tanpa perlu bergabung dengan parti politik lain.

PAS pernah bekerjasama dengan Parti Semangat 46 dan PKR. Kerajaan tunggal pimpinan PKR tidak pernah wujud sehingga kini. Pakatan pembangkang di Selangor dalam PRU 12 dan 13 ialah gabungan PKR, PAS dan DAP. Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) PKR sahaja tidak mampu membentuk kerajaan negeri.

UMNO juga mempunyai kedudukan sama membentuk kerajaan negeri di Perlis, Kedah, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu, Johor, Melaka dan Sabah. Parti Melayu lain, selain UMNO dan PAS belum lagi mampu membentuk kerajaan negeri. PKR menguasai Selangor mulai PRU 12 dan 13 dengan bantuan daripada DAP dan PAS.

Tanpa anggota daripada PAS dan DAP, PKR tidak mampu membentuk kerajaan Selangor. Keadaan sama berlaku di Perak selepas PRU 12, 2008 iaitu kerajaan PR menguasai pentadbiran negeri Perak, tetapi ia pakatan antara DAP, PKR dan PAS.

Sokongan akar umbi

Realiti yang berlaku ialah hanya UMNO dan PAS yang mendapat sokongan besar daripada pengundi Melayu dalam sejarah politik Malaysia. Sokongan akar umbinya kukuh dan dapat bertahan berdekad lamanya dari awal merdeka sehingga kini.

Parti serpihan PAS dan UMNO hanya dapat bertahan dalam tempoh masa singkat sahaja. Parti HAMIM, BERJASA, Semangat 46, Parti Negara dan seumpamanya hanya dapat bertahan untuk satu tempoh masa yang singkat.

PAN ialah serpihan PAS, manakala PPBM serpihan UMNO. Sejauh mana kekuatan PAN dan PPBM belum lagi teruji. PRU-14 akan menguji kedudukan kedua-dua parti serpihan baharu daripada PAS dan UMNO ini, sama ada berjaya atau gagal mendapat sokongan besar pengundi.

Walaupun PPBM dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad seorang tokoh besar negara, mengikut analisis sejarah ia tidak dapat menjamin sokongan besar pengundi sehingga berjaya membentuk Kerajaan Pusat. Sejarah membuktikan bahawa Datuk Onn Jaafar juga tokoh besar politik negara, tetapi beliau gagal mendapat sokongan besar pengundi.

Penulis melihat bahawa pada PRU-14 ini, belum ada petanda yang jelas dan benar-benar meyakinkan bahawa pihak pembangkang akan menang besar. Sebahagian besar pengundi Melayu, yang menjadi penentu kepada pihak yang akan menguasai kerajaan pusat masih tidak yakin dengan Pakatan Harapan.

Walaupun pengundi Melayu tidak bersetuju sepenuhnya dengan dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini, mereka masih memberi kepercayaan kepada UMNO/BN.

Pilihan kedua pengundi Melayu lebih mungkin kepada PAS. Hubungan rapat dan kerjasama PAN dan PPBM dengan DAP sukar diterima oleh majoriti pengundi Melayu.

Pakatan Harapan mungkin akan memenangi kawasan majoriti Cina dan juga kawasan pengundi campuran yang besar pengundi bukan Melayu, tetapi sukar bagi menguasai kawasan majoriti pengundi Melayu. Oleh sebab majoriti kawasan Parlimen ialah kawasan majoriti pengundi Melayu, kekuatan BN masih ada dan dipercayai akan terus kekal mendapat sokongan majoriti.

Bagi pengundi Melayu, penulis melihat bahawa hanya PAS dan UMNO saja sebagai parti politik Melayu sebenar. PKR parti berbagai kaum dan bukan parti politik Melayu.

Walaupun PAS juga terbuka kepada bukan Melayu, tetapi teras utamanya ialah Islam. Kekuatan dan kestabilan politik Melayu akan terbentuk, hanya jika PAS atau UMNO itu kuat dan mendapat bilangan besar dalam PRU-14.

Andainya UMNO dan PAS ditolak, ketidakstabilan politik Melayu mungkin berlaku. Penulis melihat bahawa pengundi Melayu hanya mempunyai dua pilihan sama ada UMNO atau PAS. Andainya kerjasama berlaku di antara dua parti politik orang Melayu ini, ia akan mampu membina kekuatan sebenar politik Melayu dan juga kestabilan politik negara secara menyeluruh.


Oleh Prof Madya Dr Mohd Noor Yazid
Penulis adalah Pensyarah Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah

No comments:

Post a Comment