Penghulu yang dilantik perlu menjadi hulubalang untuk mempertahankan Kerajaan Pas Kelantan dan bukannya membuat onar untuk menjatuhkan parti.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk memecat mana-mana penghulu yang melakukan sesuatu yang bertentangan dasar kerajaan.
Beliau berkata, penghulu yang berasa tidak puas hati dengan kerajaan dan menyokong pihak lain seperti PAN perlulah meletak jawatan.
"Kita bukan nak suruh 'bergocoh' tapi penghulu perlu mempertahankan kerajaan dengan apa cara sekalipun berbekalkan ilmu dan maklumat.
"Siapa 'beronar' maka siaplah, dalam sejarah saya memang terkenal sebagai tukang pecat orang, pecat orang-orang yang tidak boleh pakai kerja.
"Ini bukan amaran tapi kita perlu faham tujuan kita, jangan kita khianati amanah yang diberikan tetapi kita hendaklah bekerja memastikan dasar kerajaan berjaya," katanya semasa berucap di Majlis Pelantikan Penghulu 2018 di Hotel Grandriverview di sini hari ini.
Sebanyak 821 penghulu termasuk penghulu wanita, bukan Islam dan Orang Asli mengangkat ikrar pada majlis itu. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment