Sunday, September 3, 2017

JANGAN BERSEKONGKOL DENGAN MEREKA YANG MEMUSUHI ISLAM



Umat Islam di negara ini perlu memandang serius kenyataan Mufti Pahang supaya tidak bersekongkol de­ngan mana-mana kumpulan yang ingin menghakis ajaran Islam dan kepentingan orang Melayu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehubungan itu, umat Islam perlu menolak perjuangan DAP dan sekutunya yang dilihat tidak pernah bersetuju dengan usaha memartabatkan agama Islam dan Melayu yang diperjuangkan UMNO selama ini.


"Saya menyokong apa yang disebut oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Othman bahawa kita sememangnya tidak boleh sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan yang ingin menghancurkan agama kita.

"Hari ini kita lihat dalam kalangan orang Melayu, pemimpin-pemimpin termasuk bekas Perdana Menteri kita bersekongkol dengan DAP. Jadi apa yang disarankan oleh Mufti Pahang itu merupakan satu perkara yang perlu diambil perhatian serius kerana bersekongkol dengan kumpulan yang hendak menghancurkan agama, akhirnya merugikan umat Islam,’’ katanya dalam Majlis Korban Perdana Parlimen Bera di Dataran Masjid Darul Fikri di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Borhan Dollah.

Sebanyak 89 ekor lembu sumbangan pelbagai pihak untuk maj­lis korban tahunan yang dihadiri lebih 1,000 orang.

Dalam khutbah solat sunat Aidiladha semalam, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, umat Islam tidak seharusnya bersekongkol dan memberi sokongan kepada mana-mana pihak yang cuba menghakis ajaran Islam dan kuasa politik orang Melayu.

Katanya, golongan berkenaan hanya mementingkan kemenangan politik berpihak kepada mereka semata-mata daripada mengukuhkan perpaduan umat Islam.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, sejak dari dahulu, DAP yang memperjuangkan hak sama rata tidak pernah bersetuju dengan perjuangan UMNO untuk memartabatkan agama Islam dan bangsa Melayu.

"DAP kita lihat sangat jelas komen-komen yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin mereka yang mempersoalkan agama kita seperti dari segi murtad yang mana dalam Parlimen pun ada Ahli Parlimen DAP mencadangkan supaya membenarkan sesiapa yang ingin murtad dan sebagainya,’’ katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, perjuangan UMNO sejak dahulu sehingga kini begitu konsisten dalam memartabatkan agama Islam dan juga menjaga kepentingan orang Melayu dan bumiputera.

Katanya, perjuangan UMNO amat berbeza berbanding de­ngan parti-parti pembangkang lain yang mana jelas dalam Perlembagaan UMNO memberi keutamaan dalam memartabatkan umat Islam dan Melayu.

"Asas perjuangan kita adalah untuk meningkatkan syiar Islam, mempertahankan hak-hak Melayu, mempertahan dan mengekalkan Raja-raja Melayu serta mempertahankan bahasa Melayu,’’ ujarnya.

No comments:

Post a Comment