Monday, April 17, 2017

PKR BAKAL BERKUBUR, DAP PUTIH MATA - GATAL LAWAN PAS SAPA SURUH ?



BERMULA dengan Permatang Pauh, akhirnya seluruh kawasan Pas di negeri itu mahu memutuskan hubungan dengan PKR Pulau Pinang.

Ini menunjukkan Pas Pulau Pinang serius untuk memutuskan hubungan yang terjalin selama ini terutama ketika menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan 2013. Jika tidak ada sebarang pusingan U, Pas Pulau Pinang akan mengemukakan usul untuk memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik de­ngan PKR pada Muktamar Pas Ke-63 di Kota Sarang Semut, Kedah pada 27 April hingga 1 Mei ini. Semua 13 Kawasan Pas Pulau Pinang bersetuju membawa usul itu kerana PKR dilihat tidak menghormati Pas sebagai rakan sekutu mereka. Pas sudah tidak ada pilihan lagi apabila PKR mempunyai hubung­an kerjasama politik dengan DAP dan PAN (serpihan Pas). Persoalannya sejauh mana kerjasama di negeri lain terutama Selangor yang merupakan gabungan kerajaan DAP-PKR-Pas? 

Ketika ini kerajaan negeri itu berjalan seperti biasa apabila semua ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) Pas kekal, begitu juga jawatan lantikan politik lain termasuk pihak berkuasa tempatan, JKKK, ketua kampung dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).Sebelum ini, pemimpin DAP Selangor pernah mengeluarkan kenyataan supaya Pas me­ninggalkan semua jawatan dalam kerajaan negeri itu secara terhormat dan bermaruah sekiranya tidak mematuhi keputusan dasar kerajaan negeri yang dianggotai DAP dan PKR. Di Selangor, Pas dan DAP masing-masing memenangi 15 kerusi sementara PKR 14 dan BN 12. Mungkinkah kerjasama Pas-PKR akan kekal di negeri tertentu atas kepentingan politik? Dalam politik tidak ada kawan atau lawan. Apa sahaja boleh berlaku demi politik. Berban­ding di Pulau Pinang, Pas tidak mampu memainkan peranan sebagai komponen penting dalam kerajaan negeri.Ibarat melukut di tepi gantang. Menyelak kembali pencapaian Pas sebelum ini, Pas hanya menang satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Permatang Pasir yang terletak di kawasan Parlimen Permatang Pauh. Pas pernah menang kerusi DUN Sungai Dua (1978) yang ketika itu juga di kawasan Parlimen Permatang Pauh. Untuk rekod, pada PRU 1978, Pas memenangi kerusi Permatang Pauh sebelum Anwar Ibrahim mewakili BN pada PRU Ke-6 (1982) sehinggalah ke PRU Ke-9 dan kemudian disambung oleh isterinya Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada PRU-10 hingga ke-13. Berikutan pendirian Pas memutuskan hubungan dengan PKR, sudah pasti Pas akan bertanding semula di Permatang Pauh serta kerusi-kerusi DUN yang disandang oleh PKR. Adakah Pas akan mengikut ke mana sahaja PKR dan PAN bertanding?


Semasa PRU lalu, Pas diperuntukkan enam kerusi DUN iaitu Penaga, Permatang Berangan, Sungai Dua, Permatang Pasir, Sungai Acheh dan Bayan Lepas. Di peringkat Parlimen pula, Pas bertanding di Kepala Batas dan Tasek Gelugor. Sebelum keha­diran PKR, Barisan Nasional (BN) sering berhadapan pertandingan dua penjuru dengan Pas, kadang-kadang tiga penjuru bersama DAP. Calon Pas dan DAP juga pernah bertembung di beberapa kawasan. Tanpa mengambil kira sebarang pusingan U, di Pulau Pinang, pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan di kebanyakan DUN dan Parlimen terutama kawasan majoriti Melayu sama ada melibatkan BN-Pas-PKR/PAN/PPBM. Mungkin juga pertembungan empat penjuru sekiranya tidak ada kata sepakat.

Begitu juga jika pembangkang lain seperti Parti Cinta MALAYSIA (PCM) dan serpihan DAP iaitu Parti Alternatif Rakyat (PAP) turut serta. Menyelak PRU lalu, kebanyakan kawasan di Pulau Pinang melibatkan pertembungan dua penjuru, BN dan pembangkang. Keadaan ini yang memberi kesan kepada BN apabila penyokong pembangkang bersatu menyokong calon tunggal pembangkang. Sebaliknya jika berlaku pertembungan tiga pen­juru, sudah tentu undi untuk pembangkang berpecah. Keadaan ini sedikit sebanyak mencemaskan pakatan pembangkang terutama PKR bagi kawasan majoriti Me­layu. DAP juga tentunya bimbang kerana majoriti yang dimenangi PKR bukanlah terlalu besar. Sebelum ini, penyokong Pas membantu kemenangan calon-calon PKR di kawasan Melayu. Begitu juga di kawasan majoriti bukan Melayu. BN akan selesa sekiranya penyokong UMNO tidak berganjak menyokong BN di samping penyokong Pas memberi sokongan padu kepada calon pilihan parti.

Meninjau kawasan yang dianggap majoriti Melayu atau peratusan pengundi Melayu yang tinggi, terdapat 16 daripada 40 kerusi DUN menjadi tumpuan BN (UMNO), Pas, PKR, PAN dan PPBM. Ketika ini, BN (UMNO) menguasai 10 kerusi, PKR (5) dan Pas (1). Majoriti mudah untuk memerintah Pulau Pinang ialah memenangi 21 kerusi sementara majoriti dua pertiga ialah 27 kerusi. Adakah pada PRU akan datang, UMNO mampu mengambil alih kerusi yang dimenangi PKR? Sekalipun memenangi semua kerusi yang diletakkan calon Melayu, BN tidak mampu berbuat apa-apa sekiranya rakan komponen se­perti Gerakan, MCA dan MIC gagal menyumbang sebarang kerusi. Adakah pertembungan tiga penjuru akan berlaku di kawasan yang majoritinya pengundi Cina? Jika ada, parti mana yang mampu mencabar DAP? Sudah dua penggal DAP menguasai kerusi yang ditandinginya walaupun satu ketika hanya menang satu kerusi.

Mampukah Parti Cinta Malaysia (PCM) dan serpihan DAP iaitu Parti Alternatif Rakyat (PAP) menggugat kedudukan DAP? Baru-baru ini PAP yang dipimpin oleh bekas Naib Pengerusi DAP, Zulkifli Mohd Noor mengesahkan akan bertan­ding semua 40 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang. Parti berbilang kaum itu mendakwa kerajaan DAP Pulau Pinang akan tumbang dalam PRU14 akibat kerakusan pembangunan di negeri itu. Berbaloikah tindakan PAP itu? Mungkin sekadar gimik politik. Mampukah PAP menan­dingi DAP yang lebih berpengalaman? Jika PAP benar-benar serius, pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan di kawasan yang dikuasai DAP. Cuma sejauh mana pengundi akan memihak kepada BN, DAP dan sama ada PCM atau PAP. Dalam situasi ini, adakah DAP bersedia melepaskan kerusi yang dimenanginya dalam mencatur pembahagian kerusi melibatkan PKR, PAN dan PPBM.

DAP menang semua 19 kerusi DUN yang ditandinginya dan perlu berhati-hati membuat percaturan untuk menyerahkan mana-mana kerusi kepada sekutunya. Mengikut kuota yang lepas, hanya ada 21 kerusi untuk diagihkan kepada ‘komponen’ Pakatan Harapan itu. Bersediakah DAP menghadapi risiko menyerahkan kerusinya? Mungkin untuk mengekalkan kuasa, DAP tidak akan mengorbankan kerusi yang dimenangi­nya kecuali parti itu yakin sekutunya akan menang walaupun dengan majoriti yang kecil. Ketika PRU lalu, DAP menang majoriti besar di semua kerusi. Jika di­selak keputusan lalu, PCM tidak mampu ‘menjentik’ calon DAP. Hanya Naib Presdien PCM, Heng Cheng Guan memperoleh 1,801 undi di kawasan Parlimen Batu Kawan yang dimenangi DAP de­ngan majoriti lebih 25,000 undi. Calon PCM lain yang bertanding di DUN sekadar memperoleh 25 hingga 115 undi. DAP tidak bimbang dengan PCM atau PAP tetapi gelisah apabila Pas meninggalkan PKR. Kekuatan PAN dan PPBM pula masih diragui.



No comments:

Post a Comment