Wednesday, April 12, 2017

HADI MENANG , KIT SIANG MERADANG - BARUA PAKATAN BENGANG



Kemenangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempertahankan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Pas dalam pemilihan parti itu sempena Muktamar Pas Pusat Ke-63 di Alor Setar pada hujung bulan ini membuktikan sokongan padu ahli-ahli akar umbi terhadap kedua-dua pemimpin berkenaan.

Kemenangan kedua-dua pe­mimpin itu yang diumumkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Taki­yuddin Hassan dalam satu kenya­ta­an, di sini hari ini, turut memberi isyarat jelas bahawa ahli-ahli parti itu berdiri teguh di belakang Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim.

Dalam keadaan Pas berhadapan dengan pelbagai asakan khususnya selepas meninggalkan Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP, ahli-ahli Pas merasakan mereka tidak boleh membiarkan Pas bergolak akibat perebutan jawatan tertinggi.


Sumber memberitahu, kemenangan tersebut juga sebagai mesej kepada penentang-penentang Pas dan mereka yang cuba memperlekehkan Abdul Hadi bahawa ahli-ahli parti tersebut tetap menyakini Ahli Parlimen Marang itu untuk terus mengekalkan jawatan yang disandangnya secara rasmi pada 2005. Sebelum itu beliau memangku jawatan berkenaan mulai tahun 2003 berikutan kematian Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Ketegasan Abdul Hadi yang terus konsisten mempertahankan perjuangan Islam Pas biarpun terpaksa berbalah dengan DAP yang suatu ketika menjadi sekutu parti itu turut menjadi faktor kepe­mimpinan beliau dipertahankan.

Pembentangan Rang Undang-undang 355 (RUU 355) juga dilihat memberi kelebihan kepada Abdul Hadi untuk kekal memimpin Pas biarpun terpaksa berhadapan dengan tekanan hebat daripada Pakatan Harapan termasuk PKR yang menjadi sekutu Pas di Se­langor.

Strategi ‘musuh-musuh politik’ yang cuba memburuk-burukkan kepemimpinan Abdul Hadi dengan menguar-uarkan beliau kurang berkarisma berbanding Allahyarham Tan Sri Mohd. Asri Muda, Allahyarham Fadzil dan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga gagal mempe­ngaruhi 192 kawasan Pas menolak Abdul Hadi.

Dakwaan kononnya Pas akan kalah teruk dalam pilihan raya umum akan datang berikutan keputusan Abdul Hadi menamatkan hubungan dengan Pakatan Harapan turut tidak mampu menggugat ke­setiaan ahli-ahli Pas kepada ulama berusia 70 tahun itu.

Kejayaan Tuan Ibrahim pula sememangnya sudah dijangka kerana beliau dilihat serasi de­ngan Abdul Hadi. Ketegasan beliau yang sentiasa ke hadapan mempertahankan Presiden Pas itu dalam berdepan dengan pelbagai serangan politik memungkinkan Tuan Ibrahim menjadi pilihan ahli-ahli Pas untuk mengekalkan jawatannya.

Kesetiaan yang ditunjukkan oleh Tuan Ibrahim amat berbeza dengan sikap bekas Timbalan Presiden Pas sebelum ini, Mohamad Sabu yang dilihat sering sahaja bertentangan dengan Abdul Hadi.

Sementara itu, sumber dalaman Pas memberitahu, berban­ding sebelumnya pemilihan kali ini ‘lebih aman’ memandangkan ahli-ahli Pas dilihat bersatu mempertahankan kepemimpinan Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim.


Kata sumber tersebut, ahli-ahli hanya mahu membuat ‘sedikit rombakan’ di peringkat jawatan Naib Presiden yang kini menyaksikan kehadiran dua calon muka baru iaitu Takiyuddin dan Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan.

Kedua-dua mereka akan berhadapan dengan tiga penyandang jawatan tersebut iaitu Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd.Amar Abdullah dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad.

“Tetapi tidak kira apapun keadaannya, ahli-ahli Pas sudah memberi mesej yang jelas bahawa mereka mahu Abdul Hadi terus kekal memimpin parti tersebut,” katanya.



No comments:

Post a Comment