Tuesday, April 11, 2017

DANA 1MDB KEPADA PAS: RAFIZI PEMBOHONG 300 PERATUS



Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan dakwaan terbaharu Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kononnya mempunyai bukti penyaluran dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada seorang tokoh rapat dengan pemim­pin parti itu, hanya pembohongan semata-mata.

Abdul Hadi sebaliknya berkata, sikap Rafizi itu sekali gus memperlihatkan kejahilannya dalam soal dosa dan pahala.

“Sebagai seorang Islam, itu satu tuduhan yang bohong, 300 peratus bohong. Kita anggap dia jahil, tidak tahu dosa pahala kepada saya. Kesalahan dia dengan saya, saya maafkan kerana dia tak tahu.


“Ada pun dia dengan tuhan, dia kena bertaubat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis sambutan kepulangannya sempena pembentangan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini, malam ini.



Baru-baru ini, Rafizi dalam satu kenyataan berkata, beliau akan mendedahkan nama tokoh tersebut dalam masa beberapa minggu ini dan akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar mereka dapat merujuk kembali kertas siasatan itu.

Rafizi mendakwa mempunyai bukti menunjukkan ada individu yang rapat dengan Pas menerima dana daripada 1MDB dan mendesak Abdul Hadi menjawab persoalan itu.

Sementara itu, kepulangan Abdul Hadi di lapangan terbang malam ini disambut ribuan penyokong Pas. - UTUSAN ONLINE


No comments:

Post a Comment