Sunday, April 9, 2017

BERSIH ADA ANASIR LUAR - HADI AWANG



Presi­den Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendedahkan parti itu tidak lagi menyokong Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) kerana terdapat anasir luar yang mendominasi gerakan tersebut.


Abdul Hadi ber­kata, Pas telah melakukan muhasa­bah melalui politik matang dan sejah­tera di peringkat antarabangsa dengan menapis dan berhati-hati dalam menerima berita.

“Di peringkat nasional pula Pas menarik diri daripada gerakan bernama Bersih apabila tercium daripada beberapa sirinya bau-bau yang tidak bersih,” katanya yang dipetik melalui portal Harakahdaily semalam.


Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, beliau tidak akan melupakan kisah senjata kimia yang menjadi sebab beberapa siri Perang Teluk yang masih tidak padam apinya sehingga kini.

“Dalam mukadimah Perang Teluk ternyata Saddam Hussein (Presiden Iraq) menggunakan senjata kimia sehingga berlakunya Peristiwa Halabjah yang mengorbankan kaum Kurdis dan rakyat Iran yang tidak berdosa.

“Selepas Perang Teluk terbukti tidak ada senjata kimia di Iraq tetapi yang ada hanyalah kawasan minyak dan gas yang menjadi rebutan,” katanya.

Tambah beliau, isu senjata kimia kini ditimbulkan pula di Syria yang masih bergolak dengan keganasan.

Oleh itu, Abdul Hadi mengingatkan umat Islam agar berhati-hati dengan Israel dan negara sekutunya yang merupakan antara negara yang mempunyai banyak senjata berbahaya.

Selain itu katanya, Israel dan negara sekutunya turut menguasai media dan kuasa kewangan yang mempe­ngaruhi politik negara lain.



No comments:

Post a Comment