Thursday, March 23, 2017

UMNO PUJI, PAS BERANI AKUI KESILAPAN




Tindakan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang mengakui  kesilapan kerajaan Pas Kelantan dalam perjanjian dengan syarikat pemaju Liziz Standaco Sdn Bhd bagi pembangunan Lembah Sireh harus dipuji.


Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, pihaknya menghormati  pengakuan Mohd. Amar yang menerima hakikat dan mengakui kesilapan yang dibuat sebelum ini.

"Sebelum ini saya sudah menegur mengenai hal ini namun apa yang saya tegur tidak diendahkan. Sekarang, mereka sudah mengakui kesilapan.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kerana beliau berani mengaku salah dan orang yang paling berani di dunia adalah orang yang mengaku salah," katanya di sini hari ini.

Semalam, Mohd. Amar telah mengakui melakukan kesilapan dalam perjanjian projek pembangunan Lembah Sireh di sini sehingga menyebabkan tujuh projek yang dijanjikan syarikat pemaju Liziz Standanco Sdn. Bhd. tidak dilaksanakan.

Dalam perjanjian projek itu, Kerajaan Pas Kelantan perlu menyerahkan kawasan seluas 400 hektar dengan bayaran premium RM1 juta kepada Liziz Standaco.

Sebagai timbal balas syarikat itu berjanji untuk membina sebuah masjid bernilai RM20 juta; membangunkan jambatan penghubung Kampung Cina di sini dengan Palekbang Tumpat sebanyak RM150 juta; membina jambatan berkembar bersebelahan Jambatan Sultan Yahya Petra (RM160 juta); membina sebuah stadium tertutup wanita (RM25 juta) dan memasukkan wang ke dalam tabung perumahan sebanyak RM15 juta .

Namun sehingga hari ini kesemua janji tersebut tidak dilaksanakan walaupun tempoh yang diberikan sudah tamat.- UTUSAN ONLINE


ROSMIZAN RESDI


No comments:

Post a Comment