Sejurus selepas merangkul kejuaraan All England buat kali keempat, Datuk Lee Chong Wei menolak andaian bahawa kejohanan kali ini adalah penampilan terakhirnya dalam pertandingan badminton tertua di dunia itu apabila mengakui, sedia mempertahankan gelaran tahun depan.
Chong Wei, 35, menambah koleksi gelaran All England selepas menumpaskan pemain muda China, Shi Yuqi 21-12, 21-10 dalam aksi final yang nyata berat sebelah di Barclaycard Arena, Birmingham sebentar tadi.
Pemain No. 1 dunia itu hanya memerlukan 45 minit untuk menewaskan lawan yang 14 tahun lebih muda daripadanya, sekali gus mengekalkan rekod kemenangan 3-0 ke atas Yuqi.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat dan saya rasa seperti bermain di Malaysia kerana penonton penuh satu stadium sejak hari pertama.
“Ini adalah kejohanan kegemaran saya dan saya harap dapat berjumpa anda semua (peminat) dalam All England tahun depan.
“Saya akan mempertahankan gelaran saya dan turut memburu Kejohanan Dunia tahun ini
(Glasgow, 21-27 Ogos),” kata Chong Wei ketika ditemu bual oleh pengulas yang disiarkan secara langsung di televisyen. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment