Tuesday, March 7, 2017

MESYUARAT TERGEMPAR MKN !




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selesai mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang sebentar tadi.

Bagaimanapun, tiada kenyataan media dikeluarkan sebaik tamat mesyuarat yang berlangsung selama 45 minit itu.

Yang turut hadir pada mesyuarat tergempar MKN itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.



Turut hadir ialah Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali; Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin; Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Terdahulu, Perdana Menteri yang tiba dari Jakarta pada pukul 5.40 petang terus mempengerusikan mesyuarat tergempar MKN khusus membincang tindakan Korea Utara menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu.

Perdana Menteri berada di Jakarta sejak semalam bagi menghadiri sidang kemuncak Negara-negara Pesisir Lautan Hindi (IORA) yang berakhir hari ini.

Perdana Menteri pagi ini mengeluarkan arahan dari Jakarta supaya menghalang semua warga Korea Utara daripada meninggalkan negara ini, sebagai tindak balas terhadap arahan Kementerian Luar Korea Utara yang menyekat rakyat Malaysia di negara itu daripada meninggalkan Korea Utara. - UTUSAN ONLINE

YAB PM NAJIB RAZAK:-

7 Mac 2017

Tajuk:  Mesyuarat MKN Berkenaan Isu di Korea Utara

Sekembalinya dari Jakarta, saya telah mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Zahid Hamidi dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan.

Saya telah diberi taklimat terperinci mengenai situasi semasa. Fokus utama kita adalah untuk memastikan keselamatan serta membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di sana.

Saya faham perasaan dan kebimbangan keluarga serta kenalan rakyat Malaysia yang di tahan di Korea Utara.

Kita beri jaminan akan melakukan segala yang terdaya untuk memastikan mereka pulang ke tanah air dengan selamat.



UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment