Monday, March 6, 2017

CUBAAN SABOTAJ LAWATAN RAJA SALMAN, EMPAT WARGA YAMEN DI TAHAN



Empat suspek warga Yemen yang ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawa­ngan Khas Bukit Aman di Serdang dan Cyberjaya, Selangor pada 26 Februari lalu dipercayai berkomplot untuk melakukan sabotaj terhadap lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke negara ini.

Menurut sumber, kesemua lelaki berumur 26 hingga 33 tahun itu berada di negara ini sejak tiga hingga enam tahun lalu dan mempunyai kaitan dengan kumpulan pemberontak di Yemen.

“Berdasarkan pemerhatian, ki­ta dapati memang mereka ini ada kaitan dengan pihak Syiah Houthi yang mana mereka cukup berdendam dengan kerajaan Arab Saudi dan mungkin merancang melakukan serangan semasa lawatan Raja Salman.


“Kita percaya mereka mempunyai agenda tersendiri selain menyebarkan ideologi ekstrem bukan sahaja kepada rakan senegara malah turut mempengaruhi rakyat tempatan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan hari ini memberi­tahu, selain empat lelaki terbabit, polis turut menahan seorang rakyat tempatan serta dua lagi warga Indonesia dan Asia Timur yang berusia antara 28 dan 41 tahun.

Beliau berkata, tangkapan pertama terhadap dua suspek yang disyaki mempunyai kaitan de­ngan sel Daesh pada 21 Februari lalu melibatkan rakyat tempatan dan seorang warga Indonesia yang masing-masing bekerja sebagai juruteknik kilang serta petani di Kepong dekat sini.

“Suspek warga Indonesia berusia 48 tahun pernah diusir dari Turki pada Jun tahun lalu selepas cubaannya menyusup masuk ke Syria untuk menyertai Daesh gagal.

“Hasil siasatan mendapati, mereka menerima arahan daripada lelaki yang diburu polis iaitu Mohamad Wanndy Mohamad Jedi untuk melancarkan sera­ngan menggunakan bom kenderaan berskala besar sebelum menyusup keluar dari negara ini ke Syria bagi menyertai Daesh,” jelasnya.

Berhubung tangkapan kedua melibatkan warga Asia Timur di Petaling Jaya, Selangor pada 23 Februari lalu, Khalid berkata, lelaki berusia 37 tahun itu disyaki me­nganggotai kumpulan pengganas dan menjadikan negara ini sebagai transit serta tempat perlindungan.

Beliau menambah, lelaki itu menggunakan pas pelajar palsu dari sebuah universiti awam di Lembah Klang dan mempunyai hubungan dengan salah seorang pengganas di negaranya sendiri.

“Dia juga terlibat dalam me­nga­tur kemasukan anggota kumpulan tersebut ke negara ini sebelum berlepas ke Syria,” ujarnya.

Menurut Khalid, empat lelaki Yemen yang terlibat dengan kumpulan pemberontak pula turut terlibat dengan aktiviti pemalsuan dokumen perjalanan dan hasil siasatan turut menemukan pelbagai pasport antarabangsa dan pelbagai mata wang asing berjumlah RM270,000 yang dipercayai disalurkan kepada kumpulan pemberontak berkenaan.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan kerana disyaki me­lakukan kesalahan di bawah Bab VIA - Kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 (Akta 747).

Sumber Utusan Malaysia


No comments:

Post a Comment