Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Itulah peribahasa yang sesuai bagi menggambarkan keadaan seorang wanita, Siti Fatimah Md. Nor, 28, yang cacat kedua-dua kaki sehingga paras paha yang terpaksa hidup dalam sebuah bilik kecil bersama suami dan bayi mereka berusia satu bulan.
Siti Fatimah yang baru melahirkan anak perempuannya, Evelyn Felisha Elyina pada 18 Januari lalu juga terpaksa melalui tempoh masa berpantang tidak seperti wanita lain.
Kata Siti Fatimah, pendapatan suami sebanyak RM1,200 sebulan sebagai penjaga stor di sebuah kilang berhampiran tidak mencukupi untuk mereka menyewa rumah.
“Sewa rumah di sini mahal sekitar RM700 dan jika mahu menyewa perlu membayar wang pendahuluan untuk dua bulan.
“Gaji suami setiap bulan digunakan untuk melunaskan sewa rumah RM280 sebulan, ansuran motor RM150 dan perbelanjaan makanan minum,” katanya ketika ditemui di bilik sewa di tingkat dua sebuah rumah kedai di Seksyen U5, Subang Bestari di sini.
Menurutnya, dia bersyukur kerana ketika melahirkan Felisha di Hospital UMRA Seksyen 13, Shah Alam, pengurusan di situ sudi menanggung kos rawatan bersalin .
Sementara itu, bercerita detik pertemuannya dengan Siti Fatimah, Mohd. Nazri Izwani, 26, memberitahu mereka berjumpa menerusi laman sosial WeChat pada 2014, yang mana ketika itu isterinya mewakili Johor dalam acara tenis paralimpik.
“Ada juga orang bertanya kenapa memilih isteri (Siti Fatimah), tetapi ini soal hati dan kami menerima diri masing-masing seadanya.
“Saya ada bercadang untuk mencari kerja sambilan tetapi bila memikirkan keadaan isteri yang masih berpantang dan bayi yang memerlukan sepenuh perhatian, hasrat itu terpaksa ditangguhkan,” ujarnya yang turut menerima bantuan RM200 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pada masa sama, Siti Fatimah berkata, dia dan suami bercadang untuk memohon bantuan sewa rumah daripada Lembaga Zakat Selangor bagi memastikan anak-nya itu dapat membesar dalam persekitaran lebih baik.
“Saya amat berharap dan me-rayu agar pihak berkenaan dapat melaksanakan impian kami sekeluarga untuk ktinggal di rumah yang lebih selesa,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Siti Fatimah di talian 0193788141 atau menyalurkan melalui akaun simpanan Bank Simpanan Nasional miliknya 0113329000095662.
No comments:
Post a Comment