Thursday, November 24, 2016

RUU 355 AKAN DIBENTANG


Usul rang undang-undang persendirian iaitu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 dijangka dibentang untuk bacaan kali kedua sebelum berakhirnya sidang Dewan Rakyat Khamis ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usul tersebut akan dibawa oleh Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Ketua Whip Barisan Nasional (BN) berkata, sebuah Jawatankuasa Pemilihan yang terdiri daripada ahli Parlimen Islam dan bukan Islam daripada pihak kerajaan dan pembangkang akan dibentuk bagi memperhalusi perkara yang tidak jelas mengenai pembahagian kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

“Jawatankuasa Pemilihan ini diharap dapat memperhalusi semua aspek yang menjadi kebimbangan kepada ahli Parlimen bukan Islam sama ada dalam Barisan Nasional (BN) atau pembangkang agar kedua-dua pihak dapat berbahas dan berbincang.

“Jadi, saya akan membawa cadangan ini (Jawatankuasa Pemilihan) kepada Perdana Menteri untuk dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri bagi mendapatkan persetujuan daripada Kabinet agar perkara ini dapat diterima pakai kerana cadangan yang di­sebut ahli Parlimen pelbagai parti adalah satu permulaan yang baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perjumpaan dan Taklimat dengan Ahli-ahli Parlimen Islam termasuk daripada parti pembangkang bagi membincangkan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Parlimen hari ini.

Katanya, kerajaan amat menghormati sensitiviti agama lain dan bukan tujuan kerajaan dan Abdul Hadi untuk mempolemikkan keadaan atau mengeruhkan suasana pelbagai agama di negara ini.

Majlis taklimat tersebut yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berlangsung selama hampir dua jam.

Antara ahli Parlimen pembangkang yang hadir ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad; Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid.

Pada 26 Mei lalu, Abdul Hadi telah membentangkan usul rang-undang-undang persendirian untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Sewaktu pembentangan tersebut, ahli Parlimen daripada DAP dan PAN telah mempertikaikan usul persendirian yang telah dibawa Abdul Hadi sewaktu bacaan kali pertama yang lalu.

Sementara itu, Ahmad Zahid menjelaskan, rang undang-­undang berkenaan adalah khusus untuk orang Islam dan tiada mana-mana peruntukan yang termaktub di dalamnya akan melibatkan kuasa Mahkamah Sivil yang akan diambil alih untuk dilaksanakan di Mahkamah Syariah.

“Oleh itu, undang-undang ini adalah hanya untuk memperkasakan kedudukan Mahkamah Syariah sahaja,” tegasnya.

Sementara itu, Jamil Khir berkata, beliau berharap ahli Parlimen Islam telah mendapatkan kefahaman dan maklumat yang jelas berkenaan pindaan rang undang-undang tersebut dalam majlis taklimat itu.

FITRI AFFENDI MUSTAFA

No comments:

Post a Comment