Monday, October 10, 2016

MALBATT I : PENYELAMAT TENTERA AMERIKA DI SOMALIA



Taat setia ungkapan pahlawan yang menjunjung tinggi nilai-nilai kesultanan Melayu. Semangat keperwiraan Hang Tuah inilah yang sentiasa mengalir dalam darah setiap anak-anak Melayu yang menganggotai Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD).

Antara negara yang pernah RAMD mencurah khidmat mereka adalah seperti Congo, Namibia, Bosnia, Somalia dan Kemboja . Anak-anak Melayu ini telah mempertaruhkan jiwa dan raga mereka demi keamanan sejagat walau sehingga ke hujung dunia mereka di tugaskan.

Tanggal 18 Jun 1993, untuk kesekian kalinya pengobanan mereka ditagih sekali lagi di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Seramai 52 pegawai dan 818 anggota lain-lain pangkat dari Batalion ke 19 Rejimen Askar Melayu DiRaja telah membentuk MALBATT I untuk menyertai misi United Nation Operation di Somalia.

Somalia ketika itu adalah sebuah negara di Benua Afrika yang sedang bergolak dengan perang saudara, sebuah negara yang begitu asing bagi perajurit-perajurit Melayu. Kering, tandus, kebuluran dan keganasan yang sentiasa mengintai disetiap penjuru ruang negara yang bergolak disebabkan oleh perebutan kuasa.

Setiap saat di bumi gersang ini, mereka sentiasa terdedah dengan dentuman mortar dan desingan peluru yang tidak bermata, namun sedikit pun tiada rasa gentar terhadap ancaman dan cabaran yang bakal merek hadapi.

Dengan berbekalkan semangat yang kental dan keberanian yang tinggi anggota-anggota MALBATT I telah mempamirkan tahap profesialisme ketenteraan yang begitu cemerlang dan amat membanggakan negara.

Pada tanggal 3 Oktober 1993, Bazar Bakara menyaksikan pasukan MALBATT I menyertai operasi menyelamat Anggota US Rangers yang terperangkap bersama-sama juruterbang pesawat "Black Hawk".

Dengan semangat yang tinggi, anggota-anggota MALBATT I yang terdiri dari sebelas pegawai serta 113 anggota lain-lain pangkat ini meredah hujanan peluru dan roket demi menyempurnakan misi yang telah di beri.

Pasukan MALBATT I telah bertempur dengan hebat dengan semagat setiakawan tanpa mengendahkan latarbelakang dan perbezaan bangsa dan negara demi keamanan sejagat.
Dengan bepegang kepada pepatah Melayu "berpantang maut sebelum ajal" yang tersemat disanubari perajurit negara dalam mengharungi hujanan peluru yang bersimpang siur.
Hasil dari semangat perjuangan yang kental serta darah pahlawan Melayu yang mengalir di dalam setiap anggota telah mengukir satu mercu tanda anak bangsa di dalam sejarah Angkatan Tentera Malaysia.

Sesungguhnya kejayaan misi menyelamat tentera Amerika ini jelas memperlihatkan kematangan latihan yang dijalani walaupun agak kurang dari pengalaman bertempur. Keberanian anggota MALBATT I amat disanjung tinggi oleh pelbagai pihak terutama dari US Rangers.
Demi maruah negara pengorbanan anak-anak Melayu ini akan tercatat dengan tinta emas dalam lipatan sejarah bangsa yang akan dikenang dan di sanjung generasi demi generasi. Sesungguh tiada yang lebih mulia dari pengorbanan anak-anak bangsa dalam perjuangan demi menegakkan sebuah keamanan.

TAHNIAH PERWIRA NEGARA

Sumber : https://www.facebook.com/friendsofkedaulatan/

No comments:

Post a Comment