Thursday, September 22, 2016

LATARBELAKANG PENUBUHAN MALAYSIA 1963 – SURUHANJAYA COBBOLD



Suruhanjaya Cobbold dibentuk pada 17 Januari 1962 hasil dari perundingan antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan British pada November 1961. Tujuan penubuhan Suruhanjaya ini adalah untuk meninjau pendapat rakyat negeri-negeri di Sarawak dan Borneo Utara (Sabah) tentang idea penubuhan Persekutuan Malaysia.

Suruhanjaya Cobbold dianggotai oleh lima orang ahli yang dipengerusikan oleh Sir Lord Cobbold, (bekas gabenor Bank England), sementara ahli-ahlinya terdiri daripada Dato’ Wong Pow Nee dan Encik Mohd Ghazali bin Shafie, sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, manakala Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston, wakil kepada kerajaan British. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.

Dalamasa tiga bulan (Feb-Apr 1962), Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum dari pelbagai pihak yang terdiri dari parti-parti politik, ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan dan Undangan Negeri, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang mengemukakan pelbagai pandangan pro dan kontra terhadap idea penubuhan Malaysia. 

Hasil dapatan Suruhanjaya Cobbold mendapati 80 peratus penduduk Sarawak dan Borneo Utara menyokong idea penubuhan Malaysia dan disahkan oleh perwakilan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu. Di samping itu jua, laporan Suruhanjaya Cobbold juga memuatkan cadangan-cadangan dari ahli-ahli Suruhanjaya berhubung beberapa perkara yang dinyatakan melalui memorandum-memorandum yang diterimanya.

Di sini penulis ringkaskan beberapa pandangan pro dan kontra terhadap idea penubuhan Malaysia;
MENYOKONG IDEA PENUBUHAN MALAYSIA:- 
(i) Parti UMNO bersetuju penyatuan Tanah Melayu, Brunei, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak tanpa Singapura 
(ii) Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu 
(iii) Parti pemerintah PAP dan Kerajaan Singapura 
(iv) Semua parti politik Sarawak kecuali SUPP 
(v) Semua parti politik Borneo Utara (Sabah)
(vi) DYMM Sultan Brunei

MENENTANG IDEA PENUBUHAN MALAYSIA:- 
(i) Parti Islam Se Tanah Melayu (PAS)
(ii) Barisan Sosialis 
(iii) Parti Buruh
(iv) Parti Rakyat Bersatu 
(v) SUPP Sarawak
(vi) Parti Rakyat Brunei 

Antara alasan yang diberi bagi menentang idea penubuhan Malaysia adalah ia merupakan satu bentuk penjajahan baru (neo-kolonialisme), pandangan dan pendapat rakyat Singapura tidak diminta serta idea penubuhan Malaysia dianggap sebagai hakisan terhadap dominasi politik orang-orang Melayu oleh golongan kiri dan ultra Melayu/Islam.

YM Tunku Abdul Rahman Putra al_Haj selaku Perdana Menteri Tanah Melayu telah membentuk sebuah Jawatankuasa untuk mengkaji laporan Suruhanjaya Cobbold di mana beliau sendiri telah mempengerusikannya selain dianggotai oleh Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri), Tan Siew Sin (Menteri Kewangan), Datuk (Dr) Ismail Dato’ Abdul Rahman (Menteri Keselamatan Dalam Negeri) dan Datuk V.T. Sambanthan (Menteri Kerja Raya dan Telekom).

Akhirnya pada 21 Jun 1962, laporan Suruhanjaya Cobbold telah dikemukakan kepada Kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan kedua-dua kerajaan telah bersetuju menerima hampir semua cadangan yang telah dibuat oleh Suruhanjaya Cobbold. 

YM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dan Sir Harold Macmillan, Perdana Menteri British telah bersetuju untuk mengadakan rundingan selama dua minggu pada Julai 1963 di London bagi membincangkan idea penubuhan Malaysia sebagaimana yang terkandung dalam laporan Suruhanjaya Cobbold. 

Maka, satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London dengan ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. 

Pada peringkat awalnya, para pemimpin tersebut bersetuju bahawa tarikh perisytiharan dan penubuhan Malaysia adalah pada 31 Ogos 1963, namun demikian ianya terpaksa ditangguhkan memandangkan laporan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. 

Dan pada akhirnya, 16 September 1963 telah diadakan upacara perisytiharan Malaysia secara gilang gemilang di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963 dengan dihadiri oleh DYMM SPB Yang Di Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah, anggota kabinet kerajaan Persekutuan, diplomat asing serta jemputan khas.

Selaku Perdana Menteri, YM Tunku Abdul Rahman Putra telah membacakan Perisytiharan Malaysia di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang hadir beserta laungan keramat “Merdeka” sebanyak tujuh kali dengan diselang seli oleh laungan oleh rakyat Malaysia. Upacara majlis sambutan Hari Malaysia yang pertama ini diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Tuan Haji Ahmad bin Mohammad Said.

Sumber: Friends of Kedaulatan

No comments:

Post a Comment