Monday, April 18, 2016

Islam Agama Negara, Malaysia Bukan Negara Sekular


Ditulis oleh Wan Roslili Bt. Abd. Majid. Posted in Berita Harian
Faham sekular atau sekularisme pada umumnya dimaksudkan sebagai doktrin yang menolak agama atau dengan kata-kata lain, pendekatan yang menafikan kedudukan agama dalam hal-ehwal sivil. Pendukung gerakan pensekularan (secularisation) seperti Harvey Cox yang menghasilkan karya The Secular City (1965) misalnya menegaskan bahawa gagasan pensekularan didukung oleh ajaran Bible. Menurut beliau, terdapat tiga komponen penting dalam Bible yang menjadi kerangka asas pensekularan, iaitu disenchantment of nature yang merupakan pembebasan alam tabi`i atau dunia daripada nilai-nilai rohani serta agama sehingga ia dilihat hanya sebagai benda tanpa makna-makna yang lain, desecralization of politics, iaitu penyingkiran nilai-nilai agama daripada politik yang memberi maksud manusia memiliki kebebasan untuk melaksanakan tugas kepemimpinan tanpa pengesahan kewibawaan yang berdasarkan sumber-sumber agama, dan deconsecration of values yang merupakan penafian tentang kesucian dan sifat kekal nilai-nilai dalam kehidupan. Hal ini pula bermaksud ketiadaan nilai-nilai suci dan yang kekal untuk seluruh masa. Sebaliknya nilai-nilai tersebut sentiasa akan berhadapan dengan penyemakan semula dan perubahan mengikut zaman.

Doktrin atau ideologi yang dibawa Cox ini disangkal keras ilmuwan terbilang Islam seperti Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya Islam and Secularism (1978) dan Risalah untuk Kaum Muslimin (1973). Antara lain beliau menegaskan pensekularan terhasil daripada konflik lama antara akal dengan Bible dalam pandangan hidup orang barat. Beliau juga menekankan makna yang bersifat rohani bagi alam dan insan. Insan dianugerahi kemuliaan tinggi dengan pelantikannya sebagai khalifah Allah bagi menggunakan dan memerintah alam dengan adil. Justeru insan bertanggungjawab memastikan bahawa tindakannya tidak mendorong berlakunya kezaliman dan kerosakan. Hal ini menunjukkan hubungan yang erat antara insan dengan Penciptanya. Satu-satunya penyingkiran yang dilakukan ajaran Islam ialah penyingkiran makna rohani yang batil seperti animisme, khurafat, dan sebagainya daripada alam tabi`i lalu menegakkan kebenaran (hak). Sebaliknya penyingkiran atau pengosongan yang dilakukan kebudayaan barat dan agama Kristian menafikan sama sekali hubungan maknawinya dengan Tuhan. Keadaan ini menyebabkan mereka terbelenggu pada dunia fizikal dan menyangkal nilai-nilai insaniah yang selanjutnya mendorong sikap memper"tuhan"kan manusia dan me"manusia"kan Tuhan. Lantas dengan peranan sebagai ‘pencipta baharu', mereka bukan sahaja menzalimi alam tetapi juga diri sendiri secara zahir dan batinnya.

Doktrin pensekularan akan terus diperjuangkan dan dikembangkan oleh masyarakat barat kepada seluruh masyarakat dunia termasuk umat Islam. Justeru tidak hairan jika terdapat kumpulan dalam masyarakat Islam yang menerimanya dengan tangan yang terbuka. Malah ada pula yang cuba mewajarkannya dengan berusaha menemukan dasar kefahamannya daripada ajaran Islam dan dalam hal ini, Malaysia tidak terkecuali. Malang sekali hal ini berlaku kerana hakikatnya, sejarah dan umat Islam tidak pernah mengalami ketegangan dalam persoalan antara agama dengan negara, atau pertentangan antara sains dengan agama, sebagaimana yang dialami oleh masyarakat barat. Hal yang demikian itu merupakan masalah dan pengalaman peribadi mereka yang tidak harus sama sekali "dideritai" secara bersama oleh umat Islam. Seterusnya, di negara ini juga penolakan terhadap ketuanan Islam dan cadangan agar sekularisme dijadikan dasar perpaduan kebangsaan dinyatakan tanpa berselindung oleh segelintir kumpulan bukan Islam (Md Asham Ahmad, Menyanggah Sekularisme Sebagai Pandangan Hidup, Utusan Malaysia, Sept. 2006).

Dalam nada dan semangat yang sama, gesaan turut dibuat dari semasa ke semasa agar mengesahkan status negara ini sebagai negara sekular. Antara hujah yang dijadikan sandaran bagi perkara ini ialah dokumen-dokumen tertentu dan sejarah Malaysia yang dikatakan hanya bermula pada tahun 1957 sedangkan pada hakikatnya sejarah kita telah pun bermula ratusan tahun yang dahulu, iaitu pada zaman Kesultanan Melayu Islam. Jika disandarkan pada Batu Bersurat Terengganu, kedaulatan Kerajaan Melayu yang berteraskan ajaran Islam telah bertapak kukuh sebelum kurun ke-14 lagi. Fakta ini diteguhkan lagi melalui pemakaian kanun Negeri-Negeri Melayu (Malay Digest) yang berlandaskan hukum syarak.

Selain itu, pandangan hakim dalam kes tertentu juga digunakan bagi menyokong dakwaan bahawa Malaysia bukan negara Islam. Namun, keputusan atau pandangan hakim-hakim dalam kes-kes seterusnya dan mutakhir yang memberikan tafsiran lebih luas kepada Islam dan menegaskannya sebagai al-deen, iaitu agama utama serta dominan, mengatasi agama-agama lain sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan diabaikan sama sekali. Dalam hubungan ini, Prof Dr. Abdul Aziz Bari menegaskan bahawa apa pun juga tanggapan terhadap kedudukan Islam dalam perlembagaan, namun yang jelas ialah Malaysia bukan negara sekular. Dari sudut falsafahnya, adalah ganjil untuk mengatakan bahawa negara ini sekular sedangkan pada masa yang sama terdapat peruntukan tentang agama dalam perlembagaan sebagaimana yang jelas dalam Perkara 3 (1) yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Sesebuah negara sekular menurut beliau, tidak membenarkan kepemimpinannya untuk turut serta dalam membantu menegakkan agama atau mengizinkan wang pembayar cukai digunakan untuk tujuan-tujuan keagamaan, iaitu sebagaimana dapat dilihat diperuntukkan Perkara 12 (2). Perlembagaan juga sebagaimana dimaklumi umum mengukuhkan kedudukan agama Islam dengan peruntukan-peruntukan lain seperti Perkara 11 (4) yang berkaitan dengan sekatan bagi pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan penganut agama Islam oleh undang-undang negeri atau Persekutuan, ikrar Yang di-Pertuan Agong dalam Jadual Keempat untuk memelihara agama Islam pada setiap masa dan sebagainya.

Kedudukan tinggi Islam dalam perlembagaan yang menjadi penentu agama negara ini harus disyukuri oleh segenap lapisan masyarakat Islam. Ia selanjutnya harus dimanfaatkan untuk menggerakkan usaha bagi memastikan bahawa apa juga dasar dan sistem, sama ada dasar pendidikan, ekonomi, siasah dan pemerintahan, kemasyarakatan, keadilan sosial, dan sebagainya yang mahu dibentuk serta dilaksanakan oleh kerajaan harus berpaksikan ajaran Islam. Maka tapak atau asas kukuh yang disediakan perlembagaan perlu terus dipertahankan dan usaha membina perlu digembleng ke arah pelaksanaan dasar dan ajaran Islam dengan sempurna suatu masa kelak. Inilah yang ditegaskan oleh Allahyarham Prof. Emeritus Ahmad Mohamed Ibrahim supaya perlembagaan negara dilihat secara positif dan dimanfaatkan agar usaha melaksanakan prinsip-prinsip Islam akhirnya menjadi kenyataan dan pada masa yang sama, kepentingan semua kaum di Malaysia diambil kira. Masyarakat umum harus menyedari bahawa sebarang usaha memberikan laluan kepada gerakan pensekularan hanya akan mendedahkan negara terhadap kepincangan dan kehancuran sebagaimana yang dialami masyarakat dan kebudayaan barat.

Pendukung gerakan tersebut tidak pernah berhenti menggunakan pelbagai mekanisme yang ada walaupun terhad sifatnya bagi mencapai impian mereka. Lihat bagaimana mereka berusaha memperjuangkan prinsip hak asasi manusia tertentu yang mencabar dan menghina agama Islam sedangkan pada dasarnya, prinsip hak asasi manusia tidak diperuntukkan dengan jelas dalam perlembagaan. Ketinggian dan ketuanan Islam dalam negara ini tidak menimbulkan kegerunan dalam hati mereka malah dianggap cabaran bagi menjayakan segala rencana. Justeru umat Islam harus bijak memanfaatkan peluang yang menguntungkan mereka dengan mengatur strategi rapi bagi memastikan segala yang dicita-citakan menjadi kenyataan.