Kedua-dua pihak secara prinsipnya bersetuju mengadakan debat tersebut bagi merungkai skandal yang melibatkan penjual­an tanah Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin, Pulau Pinang kepada pihak ketiga yang pernah dinafikan Guan Eng sebelum ini.

“Saya mengalu-alukan Guan Eng untuk duduk berdebat mengenai perkara ini agar rakyat terutamanya di Pulau Pinang memahami secara jelas skandal tersebut.

“Begitu banyak persoalan yang perlu dirungkai tetapi saya berharap beliau lebih profesional dan kurangkan retorik serta hanya bercakap perkara berkaitan tanah Taman Manggis semasa sesi itu nanti,” kata Abdul Rahman ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Guan Eng yang bersedia menyahut cabaran berbahas secara terbuka dengannya berhubung isu tersebut.

Sebelum ini, Abdul Rahman mendedahkan dua dokumen yang menyatakan bagaimana tanah Taman Manggis yang kini dimiliki sebuah syarikat swasta iaitu Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn. Bhd. (KLIDC) cuba dijual kepada pihak ketiga dengan harga RM20 juta.

Berhubung penafian Ketua Menteri Pulau Pinang itu mengenai dua dokumen perjanjian jual beli berkaitan tanah yang diperuntukkan untuk projek perumahan rakyat di Taman Manggis, Abdul Rahman berkata, beliau akan mengupas isu tersebut pada perbahasan itu nanti.

“Saya akan kupas satu persatu bila tiba masanya nanti. Pada masa ini saya berada di luar negara dan telah mengarahkan pegawai saya berhubung dengan beliau bagi mengatur masa yang sesuai untuk berdebat,” katanya.