Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan berita gembira itu berkata, skim tersebut merupakan inisiatif terbaharu kerajaan dalam membantu golo­ngan berpendapatan sederhana (M40) membiayai kos deposit rumah yang merupakan salah satu daripada rungutan dalam kalangan pembeli rumah.


Seiring dengan pengumuman itu kata Perdana Menteri, penjualan rumah yang berharga sehingga RM300,000 kepada hanya pembeli rumah pertama seperti yang diumumkan beliau dalam peng­ubahsuaian Bajet 2016 lalu akan mula dilaksanakan mulai bulan ini.
“Skim ini melibatkan pemberian sumbangan sebanyak 10 peratus daripada harga jualan atau maksimum RM30,000, yang mana lebih rendah, kepada pembeli rumah pertama untuk membantu mereka membeli rumah yang berharga kurang RM500,000,” katanya selepas mempengerusikan mesyua­rat Majlis Perumahan Negara (MPN) di Bangunan Parlimen di sini hari ini.


Yang turut hadir, Menteri Ke­sejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan serta timbalannya, Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Pada majlis tersebut Perdana Menteri turut menyaksikan perjanjian usaha sama antara Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membangunkan dua blok kediaman membabitkan 786 unit apartmen di sebidang tanah milik TNB di Kajang, Selangor.

Menurut Perdana Menteri, pemohon boleh mula mengemukakan permohonan dalam talian bagi memohon skim tersebut bermula esok melalui laman web Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


Dalam pada itu jelas beliau, bagi menggalakkan pemaju swasta membina rumah di bawah harga RM300,000 pula, kerajaan menawarkan beberapa insentif kepada pemaju termasuk mengekal nilai deposit di paras RM200,000 di mana kadar semasa deposit adalah tiga peratus daripada anggaran kos pembinaan.


“Bagi pembangunan bercampur, nilai deposit adalah berdasarkan baki pemajuan rumah-rumah yang berharga melebihi RM300,000,” tambahnya.

Mengenai status pelaksanaan satu juta rumah mampu milik menjelang 2018 pula, Najib memaklumkan sehingga 31 Disember 2015, sebanyak 183,755 unit telah siap dibina, 214,011 unit dalam pembinaan dan 309,571 unit dalam pelbagai peringkat perancangan.
Selain itu, beliau turut mengumumkan pelaksanaan Karnival Rumah Mampu Milik secara bersepadu mengikut zon akan dimulakan dengan Zon Tengah di Pameran Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Julai nanti yang akan menawarkan lebih 50,000 unit rumah untuk dijual.

SUMBER UTUSAN