Pada pertemuan itu, beliau juga telah menjelaskan kepada mereka bahawa Najib turut menerima surat daripada presiden Georgetown University yang melampirkan dua pucuk surat iaitu daripada Setiausaha Negara Amerika, John Kerry dan penasihat keselamatan Amerika, Susan Rice bertanyakan persoalan yang sama.

"Tentunya pertanyaan ini ada kaitan dengan gambaran solah-olahnya Anwar tidak langsung diberikan sebarang layanan yang sepatutnya, terutama dari segi pemberian rawatan dan perubatan yang sepatutnya diberikan.

"Saya telah menyatakan bagi pihak kerajaan Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia bahawa sesungguhnya Anwar telah diberikan rawatan yang sepatutnya.

"Ini termasuklah keputusan oleh Jabatan Penjara untuk membenarkan kumpulan pakar perubatan dari Universiti Georgetown, Amerika Syarikat, datang ke Malaysia bagi menjalankan rawatan dan melakukan sebarang prosedur operasi terhadap sakit yang dialami oleh Anwar," katanya pada sidang akhbar dengan wartawan Malaysia di sini.

Ahmad Zahid juga menjelaskan kepada kedua-dua pemimpin UK itu bahawa pakar-pakar perubatan dari luar negara itu dibenarkan dibawa dan melakukan rawatan ke atas Anwar di mana-mana hospital kerajaan.

Beliau berkata, mereka juga boleh membawa kumpulan doktor pakar termasuk pembantu perubatan yang diperlukan sesuai dengan masalah kesihatan yang dialami Anwar.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa Anwar mengalami kecederaan bahu kronik.
Anwar, kata Ahmad Zahid kini ditempatkan di wad dalam Penjara Sungai Buloh dan telah diberikan rawatan perubatan di dalam penjara serta rawatan pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Penjelasan yang diberikan beliau itu, katanya telah mengejutkan kedua-dua pemimpin dari UK itu, barangkali kerana gambaran yang diberikan kepada mereka sebelum ini ialah Anwar seolah-olah langsung tidak diberikan sebarang rawatan oleh doktor pakar atau doktor-doktor di Malaysia. - BERNAMA