Dalam perlawanan tersebut, Lang Merah menang 3-1 dan layak secara agregat 4-2, namun jari­ngan pemain lawan, Mohd. Faiz Isa mengundang tanda tanya ke­rana permainan diteruskan dalam saat Kedah meraikan gol kedua mereka yang dijaringkan Sandro Da Silva.

Pengadil perlawanan, Samsudin Ibrahim mengesahkan jari-ngan itu meskipun dibantah oleh pemain dan pegawai pasukan Lang Merah.

Pengurus Kedah, Datuk Jeffrey Low Hang Chow berkata, pihak­nya akan menghantar aduan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Ma­laysia (FAM) berhubung mutu pengadilan dalam perlawanan di Stadium Majlis Pembandaran Selayang itu.

Walaupun ia tidak akan merubah keputusan perlawanan, apatah lagi Kedah sudahpun meraih tiket separuh akhir, tetapi laporan perlu dihantar kepada badan induk bola sepak negara itu agar perkara yang sama tidak berulang kerana saingan Piala Malaysia masih berjalan.

“Saya tidak pernah tengok gol seperti ini kerana selepas jari-ngan Sandro (da Silva) sebahagian pemain masih meraikan jaringan di tepi padang dan seorang pemain kita (Badrul Bakhtiar) masih berada di kawasan lawan tetapi sepak mula diteruskan dan mereka (PKNS) jaringkan gol.

“Tetapi pengadil menerima ja­ri­ngan PKNS itu dengan mendakwa Badrul berada di luar padang..pasukan tuan rumah pun sepatutnya mempunyai sikit sema-ngat kesukanan iaitu tunggu dulu pemain kedah selesai raikan jari­ngan itu baru mula tetapi mereka tetap teruskan permainan.

“Betul kami telah layak ke se­paruh akhir, namun saya mengambil tindakan supaya perkara se­perti ini tidak berulang kerana ia menjatuhkan standard mutu pengadilan bola sepak negara..sepatutnya pemilihan pe­ngadil lebih teliti..ini kejohanan paling berprestij dalam arena bola sepak negara,” kata Jeffrey kepada Utusan Malaysia.

Dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Darul Aman, Selasa lalu, Kedah dan PKNS FC terikat 1-1 sebelum menang 3-1 dalam suku akhir kedua di Selayang.

Tambah beliau, pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan terlebih dahulu meneliti video insiden terbabit sebelum menghantar laporan kepada FAM.

“Kita tidak akan terburu-buru menghantar aduan kepada FAM..teliti dulu video dan apa yang berlaku dalam perlawanan itu serta mendapatkan pandangan daripada beberapa pengadil profesional. Kemudian barulah kita menye­rahkan aduan. Tindakan selanjutnya terserah kepada FAM,” jelasnya.

Menurutnya lagi, KFA sudah mendapatkan rakaman video daripada TV9, input dari sudut lain turut diperlukan, terutama dari video rakaman peminat sendiri yang menyaksikan perlawanan di stadium.

“Mohon kepada semua penyokong yang hadir menghantar kepada admin di mediakfa@gmail.com sebarang video ber­kenaan insiden tersebut untuk kegunaan kajian pasukan dari pelbagai sudut sebagai panduan semua pihak dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing,” menurut status yang dimuat naik KFA dalam Facebook rasminya.