Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengikut peraturan ditetapkan dengan tidak membenarkan perdebatan itu memandangkan isu tersebut masih dalam siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Katanya, sebagai saksi dalam siasatan yang sedang dijalankan, Arul Kanda tidak boleh mengeluarkan kenyataan kepada mana-mana pihak selagi siasatan belum selesai.
“Begitu juga sama ada ahli Parlimen yang terlibat sebagai anggota PAC atau mana-mana saksi yang terlibat dalam siasatan 1MDB menerusi PAC tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Tohmahan mengatakan ini cara kerajaan melindungi 1MDB dengan memperalatkan Speaker tidak betul dan itu boleh kita tengok dalam peraturan mesyuarat," katanya dalam sidang akhbar pada majlis sumbangan Deepavali Parlimen Kuala Krau di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kuala Krau di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamad Jaafar.
Pada majlis itu, Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau menyampaikan sumbangan wang tunai kepada seramai 150 warga emas sebagai persediaan sambutan Deepavali.

Pandikar Amin sebelum ini tidak membenarkan perdebatan antara Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dengan Arul Kanda, malah beliau sanggup meletakkan jawatannya jika perdebatan itu diteruskan.

Dalam pada itu, Ismail berkata, PAC adalah sebuah jawatan kuasa yang ditubuhkan menurut peraturan mesyuarat di dalam Dewan Rakyat bagi menyiasat sama ada wujud penyelewengan dan lain-lain dalam 1MDB.

Bagaimanapun katanya, setakat ini pendengaran atau siasatan masih dijalankan dan laporan lengkap belum dapat disahkan selepas dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat.