Perdana Menteri berkata, pada saat Malaysia mahu menyambut Hari Kebangsaan 2015 pada Isnin ini, golongan berkenaan bertindak seperti tidak faham bahawa negara ini terbina atas darah dan keringat perjuangan terdahulu dengan mengadakan perhimpunan haram di tempat bersejarah itu.


‘‘Tidak faham ke mereka ini, cetek dan miskin sangat ke semangat patriotik cintakan kepada negara. Tidak faham ke mereka yang negara kita terbina atas darah dan keringat pejuang-pejuang tanah air.


‘‘Daripada zaman Mat Kilau, Tok Janggut dan pejuang UMNO sehingga ke perajurit, tentera serta polis kita yang mati syahid menentang komunis kerana hendak pastikan kemerdekaan negara,’’ katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jerantut di Dewan Majlis Daerah Jerantut di sini hari ini.


Yang hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Ahmad Nazlan Idris dan para pemimpin UMNO setempat serta negeri.
Najib menegaskan, walaupun berbeza pendapat, golongan tersebut sepatutnya menghayati sambutan Hari Kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang kerana Malaysia 


merupakan negara tumpah darah mereka dan bakal disemadikan di bumi ini.
Sementara itu, beliau mengingatkan ahli UMNO supaya memeriksa kebenaran sesuatu berita yang dibaca terutama di media sosial bagi mengelakkan ia menjadi fitnah sekali gus boleh memusnahkan parti.


Menurutnya, sejarah membuktikan bahawa sesebuah negara itu boleh tumbang hanya disebabkan fitnah dan pembohongan terancang.


Kata beliau, paradigma kini sudah terbalik apabila seolah-olah apa yang dilaporkan dalam media sosial lebih dipercayai daripada media arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times.


"Sebab itu kita tidak boleh benarkan mainan persepsi mengatasi realiti,’’ katanya.