Saturday, August 29, 2015

"MENSYUKURI NIKMAT" TEMA SAMBUTAN HARI PENEROKA FELDA



ALHAMDULILLAH !

Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". (Surah Ibrahim:7)
"Mensyukuri Nikmat" , Tema sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan, adalah amat bertepatan dengan suasana iklim politik negara hari ini. Jika kita selusuri sejarah penubuhan FELDA maka wajarlah warga FELDA hari ini mengucapkan  syukur kepada Allah sebanyak-banyaknya. 
Nikmat yang Allah kurniakan kepada warga FELDA hari ini tidak terhitung banyaknya. Peneroka Felda perlu muhasabah diri bagi menilai kembali kebaikan dan keuntungan yang diterima sejak menyertai FELDA sehingga kini.
Sebenarnya asal-usul penubuhan FELDA adalah untuk memberi peluang kepada orang Melayu memperoleh pendapatan melalui kerja-kerja pembukaan ladang bagi penanaman getah dan kelapa sawit. Warga Felda bernasib baik kerana pemimpin yang diberi kuasa oleh penjajah selepas pilihan raya 1955 begitu prihatin untuk membantu orang Melayu yang ramai menganggur pada masa itu. 

Peneroka FELDA sewajarnya mengakui bahawa corak kehidupan dan status sosial serta pendapatan yang diperoleh jauh lebih baik berbanding tinggal di kampung asal sebelum menyertai FELDA. Fakta sejarah hidup mereka tidak boleh dibohongi kerana masing-masing melaluinya sekali gus membezakan antara 'dua zaman' itu. Oleh itu warga FELDA perlu bersyukur dengan apa yang dinikmati selama ini tanpa melupakan asal-usul mereka. 

Yang paling penting adalah warga FELDA belajar dari kesilapan dan mengelaknya dari berulang walaupun hari ini mereka memperolehi kehidupan yang cukup baik. Generasi muda FELDA yang lahir dalam serba kemewahan perlu dingatkan dari mana datangnya semua kesenangan ini. Pengorbanan datuk nenek mereka wajar diingatkan selalu agar mereka sentiasa menjadi warga yang bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional. 

Bukan pekara yang mudah untuk menguruskan  keperluan 112,635 peneroka FELDA di seluruh negara. Apatah lagi untuk memastikan keperluan kehidupan seharian mereka dipenuhi. Begitulah besarnya jasa kerajaan kepada warga FELDA. Jauhilah bersikap angkuh dan sombong diatas kejayaan yang telah dikecapi kerana sikap sebegini akhirnya akan membawa kepada kufur nikmat dan kehancuran. Sebaliknya bersyukurlah dan perlu tahu membalas budi pihak-pihak yang telah membantu mereka mengecapi nikmat kesenangan hari ini sama ada secara langsung mahu pun tidak langsung. 
Justeru itu warga FELDA perlu rasional dalam menerima sebarang berita atau maklumat dari pihak-pihak yang tidak bertanggunjawab yang bertujuan untuk merosakan masa depan FELDA. Selidiki dan rujuklah segala maklumat yang diterima, jangan mudah terpengaruh dakyah-dakyah mereka yang irihati dengan kejayaan FELDA. 
Warga  FELDA perlu mengakui bahawa dibawah pentadbiran kerajaan kini, kehidupan mereka telah berubah bertambah maju dan pesat. Semua ini tidak datang dengan mudah. Segala urusan pentadbiran organisasi diuruskan dengan cekap dan berhemah oleh kerajaan. Masyarakat peneroka amat bertuah kerana Felda dan kerajaan sentiasa memberi perhatian sama ada  dari aspek ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya. Sehinggakan pendapatan peneroka setaraf dengan mereka yang berstatus tinggi. 
Maka amat wajarlah warga FELDA  kekal memberi kesetiaan kepada kerajaan yang selama ini membantu mereka agar agenda pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar.
Warga Felda harus mengakui hakikat hanya Felda sahaja mampu mengangkat martabat masyarakat itu berbanding pembangkang yang hanya pandai beretorik sahaja


  


No comments:

Post a Comment